Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi
Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 26 Julai. – Doa bukan sekadar amalan ibadah yang dilafazkan oleh lidah, malah merupakan manifestasi akidah, lambang pergantungan mutlak kepada Allah Subhanahu Wata'ala serta menjadi asas penting dalam pembentukan tamadun Islam yang sejahtera dan diberkati.
Penekanan berkenaan antara inti pati tazkirah yang disampaikan pada Program Subuh Berkat yang berlangsung di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong, anjuran Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Bahagian Imarah dengan kerjasama ahli jawatankuasa takmir masjid berkenaan.
Program yang diadakan buat julung kalinya bersempena Hari-hari Kebesaran Islam dan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 Tahun berkenaan bertujuan menyokong aspirasi Negara Brunei Darussalam (NBD) sebagai sebuah Negara Zikir, sekali gus memperkukuh peranan masjid sebagai pusat ibadah, penyebaran ilmu dan pembangunan ummah.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed, juga Ketua Kampung Putat, Daerah Brunei dan Muara.
Majlis dimulakan dengan Sembahyang Fardu Subuh Berjemaah sebelum diteruskan dengan penyampaian tazkirah oleh Penolong Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da'wah Islamiah, KHEU, Awang Muhammad Safwan bin Mohd. Suffian.
Dalam tazkirahnya, Awang Muhammad Safwan seterusnya menjelaskan bahawa doa merupakan inti kepada ibadah yang tidak boleh dipandang ringan kerana ia menjadi senjata orang beriman, membuka pintu rahmat serta pertolongan Allah Subhanahu Wata'ala, di samping mempunyai waktu-waktu mustajab yang dianjurkan oleh syariat.
Beliau turut menghuraikan bahawa doa mencerminkan kesempurnaan tauhid apabila seseorang Muslim mengiktiraf Allah sebagai Al-Qadir (Maha Berkuasa), Al-Mujib (Maha Memperkenankan Doa) dan As-Sami' (Maha Mendengar).
Keyakinan sedemikian katanya lagi akan melahirkan jiwa yang sentiasa bergantung harap kepada Allah Subhanahu Wata'ala serta meyakini bahawa setiap doa yang dipanjatkan tidak akan sia-sia.
Menyentuh mengenai cabaran semasa, Awang Muhammad Safwan mengingatkan bahawa perkembangan dunia moden telah menyebabkan sebahagian manusia terlalu bergantung kepada kemampuan diri dan kemajuan teknologi sehingga mengabaikan doa serta pergantungan kepada Allah Subhanahu Wata'ala sekali gus memberi kesan terhadap kekuatan akidah.
Beliau turut membawa para jemaah menelusuri sejarah Kesultanan Brunei, bermula daripada pemerintahan Sultan Muhammad Shah sehingga ke era pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, yang memperlihatkan bagaimana doa dijadikan tunjang pemerintahan, penyatuan rakyat, pembangunan negara dan pengukuhan identiti Negara Zikir.
Program berkenaan bukan sahaja menyemarakkan budaya mengimarahkan masjid, bahkan menjadi wadah memperkukuh ukhuwah, meningkatkan kefahaman agama serta menyuburkan penghayatan nilai-nilai Islam dalam kehidupan bermasyarakat.
Melalui pengisian yang ringkas tetapi sarat dengan ilmu, para jemaah diingatkan bahawa doa merupakan gabungan antara ibadah, akidah dan ikhtiar yang menghubungkan manusia dengan Allah Subhanahu Wata'ala, sekali gus menjadi sumber kekuatan rohani dalam membina diri, memakmurkan masyarakat dan memajukan negara.