Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid
Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Pg. Nurhafilah Pg. Osman
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 3 Ogos. - Kementerian Pembangunan, dengan kerjasama Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, kini sedang mengkaji semula beberapa aspek dasar dan syarat kelayakan di bawah skim-skim perumahan sedia ada.
Usaha tersebut bertujuan mempercepatkan penyediaan perumahan kepada rakyat, di samping mengurangkan kos pembinaan bagi projek-projek perumahan yang sedang dirancang.
Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, menjelaskan perkara itu ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Haji Md. Salleh bin Haji Othman, Penghulu Mukim Bukit Sawat, pada hari pertama Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN, di Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Menurut Yang Berhormat Menteri Pembangunan, kajian berkenaan dilaksanakan bersama Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan masih di peringkat pelaksanaan.
“Perkara ini telah dibuat dengan kerjasama Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, dan perkara ini masih lagi ‘work in progress’ yang telah dimulakan sejak bulan Julai yang lepas,” jelasnya.
Yang Berhormat berkata, antara aspek yang sedang diteliti ialah penilaian kemampuan pemohon memiliki rumah berdasarkan tahap pendapatan, di samping memastikan jenis dan harga rumah yang ditawarkan bersesuaian dengan kategori kemampuan pemohon.
Selain itu, Kementerian Pembangunan juga sedang meneliti kerjasama antara sektor awam dan swasta, termasuk penglibatan institusi kewangan, pelabur serta pemaju tempatan, bagi memperluaskan penyediaan rumah mampu milik dan mempercepatkan pembekalan perumahan kepada rakyat.
Yang Berhormat seterusnya menjelaskan bahawa pendekatan tersebut masih di peringkat perbincangan dan penelitian bagi memastikan setiap cadangan yang dilaksanakan adalah praktikal, mampan serta memberi manfaat kepada rakyat dan kerajaan.
Yang Berhormat berharap hasil penelitian berkenaan akan menjadi asas kepada penambahbaikan mekanisme penyampaian dan penyediaan perumahan negara agar lebih responsif terhadap keperluan semasa dan masa hadapan, selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035.