Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Kemajuan Pelancongan
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 31 Julai. - Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri akan menganjurkan ‘Brunei Coffee Trail’ serta ‘Visit Brunei Year 2027’ di Bintang Megamall, Miri, Sarawak, Malaysia selama tiga hari bermula 7 hingga 9 Ogos 2026.
Penganjuran acara tersebut merupakan kesinambungan usaha Jabatan Kemajuan Pelancongan dalam mempromosikan budaya kopi Brunei Darussalam di peringkat serantau, susulan kejayaan penganjuran program sama pada tahun lalu. Pada masa yang sama, acara berkenaan menjadi platform memperkenalkan Visit Brunei Year 2027 kepada masyarakat Malaysia sebagai persediaan menjelang tahun pelancongan negara.
Acara tersebut bertujuan menggalakkan lebih ramai pengunjung dari Sarawak berkunjung ke Brunei Darussalam bagi menikmati pelbagai tarikan yang ditawarkan, di samping menyediakan platform kepada pengusaha kafe kopi, ‘matcha’ dan usahawan tempatan untuk mempromosikan produk masing-masing serta meluaskan pasaran.
Sebanyak lima kafe tempatan akan menyertai promosi tersebut, iaitu Coffee Up!, Dahaga Café, Kongpi Coffee, Shin Cha Café, dan Three Light Coffee Bar, yang akan memperkenalkan campuran kopi istimewa serta pilihan minuman ‘matcha’ kepada para pengunjung.
Selain itu, beberapa organisasi dan syarikat tempatan turut mengambil bahagian bagi mempromosikan destinasi pelancongan dan produk Brunei Darussalam, antaranya Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Artisan Abadi Sdn. Bhd., Roda Impian Cruise, The Empire Brunei, Mantap dan Skinny Meal.
Orang ramai dijemput hadir sepanjang tiga hari penganjuran untuk menikmati pelbagai aktiviti menarik termasuk sesi merasa kopi dan ‘matcha’, demonstrasi penyediaan minuman secara langsung, permainan interaktif serta pelbagai aktiviti sampingan.
Acara berkenaan turut memberi peluang kepada pengunjung untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Visit Brunei Year 2027, termasuk pelbagai pengalaman, destinasi dan produk pelancongan yang bakal ditawarkan bagi mengalu-alukan kedatangan pelancong ke Brunei Darussalam.
Bagi mendapatkan maklumat lanjut dan perkembangan terkini mengenai acara tersebut, orang ramai boleh mengikuti akaun Instagram rasmi Brunei Tourism, ‘@brunei.tourism’.