Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Kemajuan Pelancongan
MIRI, SARAWAK, Jumaat, 7 Ogos. - Acara promosi Brunei Coffee Trail dan Jerayawara Tahun Melawat Brunei 2027 bermula hari ini di Bintang Megamall, Miri, Sarawak, Malaysia, menerusi majlis perasmian yang menandakan pembukaan acara selama tiga hari yang menghimpunkan kafe kopi dan ‘matcha’ terbaik dari Negara Brunei Darussalam (NBD) bersama beberapa perusahaan tempatan.
Majlis perasmian disempurnakan oleh tetamu-tetamu kehormat, Datuk Bandar Miri, Sarawak, Malaysia, Yang Berhormat Encik Adam Yii Siew Sang, dan Setiausaha Tetap (Industri), Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri, NBD, Awang Mohammad Harris bin Brigadier Jeneral (B) Dato Paduka Haji Ibrahim.
Kehadiran kedua-dua tetamu kehormat itu mencerminkan hubungan dua hala yang erat antara NBD dan Malaysia, di samping komitmen bersama dalam memperkukuh kerjasama rentas sempadan khususnya dalam sektor ekonomi dan pelancongan.
Acara berkenaan dianjurkan oleh Jabatan Pembangunan Pelancongan, Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk mempromosikan budaya kopi dan ‘matcha’ Brunei di peringkat serantau, sekali gus mengetengahkan NBD sebagai destinasi pilihan pelancong dari Malaysia.
Penganjuran pada tahun ini turut diperkasakan dengan Roadshow Tahun Melawat Brunei 2027, yang bertujuan menarik lebih ramai pelawat serantau untuk menerokai pelbagai tarikan pelancongan negara.
Kempen Tahun Melawat Brunei 2027 merupakan inisiatif nasional bagi memperkenalkan kekayaan warisan Islam, keindahan alam semula jadi yang masih terpelihara, kepelbagaian gastronomi serta budaya masyarakat yang mesra dan harmoni kepada masyarakat antarabangsa. Kempen tersebut turut menggalakkan pelancong menikmati pelbagai pengalaman autentik, termasuk mercu tanda bersejarah, hutan hujan tropika, pusat peranginan dan tarikan kebudayaan.
Lima perusahaan kopi dan ‘matcha’ tempatan mengambil bahagian dalam acara tersebut, iaitu Coffee Up!, Dahaga Café, Kongpi Coffee, Shin Cha Café dan Three Light Coffee Bar, yang menampilkan pelbagai adunan istimewa, kopi premium serta minuman buatan tangan.
Turut serta ialah Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB), Artisan Abadi Sdn. Bhd., Roda Impian Cruise, The Empire Brunei, Mantap dan Skinny Meal, yang mempamerkan pelbagai produk dan pengalaman pelancongan bagi memberikan gambaran menyeluruh mengenai keunikan NBD.
Acara itu juga mempromosikan Impressionist Landscape Art & Immersive Exhibition, yang baru-baru ini dilancarkan oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri, bersama Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah binti Adam di BKISHHB.
Pameran berkenaan menampilkan karya-karya bersejarah daripada beberapa pelukis impresionis terkenal dunia, sekali gus menawarkan pengalaman budaya baharu kepada pengunjung dan memperluaskan daya tarikan pelancongan negara menjelang Tahun Melawat Brunei 2027.
Acara yang dibukakan kepada orang ramai sehingga 9 Ogos 2026 itu berlangsung setiap hari dari jam 10.00 pagi hingga 9.00 malam, dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk sesi merasa kopi dan ‘matcha’, demonstrasi penyediaan minuman secara langsung, permainan interaktif serta promosi produk dan destinasi pelancongan NBD.
Orang ramai boleh mengikuti perkembangan lanjut mengenai acara dan kempen Tahun Melawat Brunei 2027 melalui akaun Instagram rasmi ‘@brunei.tourism’.