Oleh : Muhammad Khairulanwar Ali Rahman
Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Pg. Nurhafilah Pg. Osman
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 3 Ogos. - Kita bersidang pada hari ini dalam suasana dunia yang sedang mengharungi pelbagai cabaran dan ketidaktentuan, sama ada dari segi ketegangan geopolitik, kegawatan ekonomi global, perubahan iklim, mahupun kepesatan transformasi digital dan teknologi yang memberi kesan kepada setiap lapisan masyarakat.
Dalam menghadapi arus perubahan ini, negara kita perlu terus kekal berwaspada dan bijaksana dalam merangka dasar-dasar yang mampu melindungi kepentingan rakyat serta memastikan kestabilan dan kemakmuran terus terpelihara. Justeru, tanggungjawab yang dipikul oleh Yang Berhormat sekalian pada masa ini amatlah besar dan ia menuntut kebijaksanaan serta kerjasama padu daripada semua pihak.
Perkara tersebut ditekankan oleh Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib pada hari pertama Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN seterusnya meluluskan dua usul utama untuk dibincangkan di mesyuarat ini. Yang pertama merupakan Usul berkenaan penyelarasan ke arah pelaksanaan Wawasan Brunei 2035.
“Perkara ini penting kerana wawasan masa depan negara bukan sekadar dokumen dasar tetapi merupakan hala tuju negara yang menuntut usaha bersepadu daripada seluruh negara. Ini bermakna setiap dasar dan inisiatif iaitu untuk melahirkan rakyat yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi, mencapai kualiti hidup di antara terbaik di dunia dan membina ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan.
“Justeru, saya menyeru Ahli-ahli Yang Berhormat semua bagi membahaskan usul ini dengan semangat bagi mengukuhkan penyelarasan Wawasan Brunei 2035, supaya hasratnya dapat direalisasikan demi generasi kini dan akan datang,” jelas Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN.
Yang Berhormat dalam pada itu juga meluluskan usul kedua iaitu Usul Penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli MMN di mana Usul ini adalah pada menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-21 tahun lalu, berkenaan keperluan bagi MMN untuk mempunyai kod etika bagi memastikan ahli-ahli melaksanakan tugas dengan lebih berkesan dan berintegriti tinggi.
Ini merupakan satu langkah ke arah memperkukuhkan integriti, akauntibilti dan profesionalisme dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing.
Kod ini, jelas Yang Berhormat, dijangka akan menggariskan standard tingkah laku yang perlu dipatuhi oleh setiap ahli, bagi memastikan imej dan kredibiliti institusi ini terus terpelihara serta mempunyai kepercayaan tinggi dan berharap Yang Berhormat sekalian memberikan sokongan penuh serta ‘input’ yang membina semasa peringkat perbincangan dan penggubalan kod ini.
Dalam mengakhiri ucapan, Yang Berhormat menegaskan kepentingan memastikan penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Mesyuarat bagi MMN sentiasa dipatuhi secara konsisten oleh semua ahli, bagi menjamin kelicinan, ketertiban dan kewibawaan setiap persidangan yang dijalankan.
“Peraturan ini bukanlah sekadar prosedur formaliti tetapi merupakan asas yang memastikan setiap ahli akan menyertai perbahasan dengan adil dan teratur. Di samping itu, menyeru agar semangat musyawarah terus menjadi teras dalam setiap perbincangan majlis ini iaitu semangat bermuafakat, saling mendengar serta mengutamakan kepentingan negara dan rakyat melebihi kepentingan peribadi. Dengan berpegang teguh kepada Peraturan Mesyuarat serta menghayati semangat musyawarah ini.
“Saya yakin setiap perbincangan dalam dewan yang mulia ini akan lebih matang, saksama dan membawa berkat kepada seluruh rakyat dan negara,” tambah Yang Berhormat.
Yang Berhormat juga berharap ahli-ahli akan dapat meneruskan semangat kerjasama, muhibah dan tanggungjawab yang tinggi selaras dengan matlamat bersama untuk memastikan negara terus maju di bawah naungan pimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Terdahulu, Yang Berhormat merafakkan sembah tahniah dan mendoakan kesejahteraan Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Hari Keputeraan baginda Ke-80 Tahun yang baru sahaja disambut dengan meriah dan syukur oleh seluruh rakyat dan penduduk negara ini. Marilah kita bersama-sama merafakkan doa ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia dikurniakan kesihatan yang baik, usia yang panjang dan sentiasa dilimpahi hidayah dan taufiq dalam menerajui negara tercinta ini menuju kesejahteraan dan kemakmuran yang berkekalan.
Dalam kesempatan ini juga, Yang Berhormat mengalu-alukan kehadiran Yang Berhormat Menteri-Menteri Kabinet yang baharu yang merupakan barisan kabinet yang telah dilantik pada 4 Jun 2026 bersamaan 17 Zulhijah 1447 ke dalam majlis ini.
“Pelantikan Yang Berhormat sekalian merupakan satu amanah yang besar dan saya yakin dengan pengalaman serta dedikasi yang ada, Yang Berhormat akan dapat menyumbang bakti secara berkesan demi kemajuan negara dan kesejahteraan rakyat,” tambah Yang Berhormat.