BIBD mendukung pertumbuhan ekonomi melalui pelaburan, kerjasama strategik

8 Og 2026 - 6:53am

Oleh : Nooratini Haji Abas

Foto : Muhammad Asri Awang Haji Abas

JERUDONG, Jumaat, 7 Ogos. - Bank Islam Brunei Darussalam Berhad (BIBD) mengukuhkan semula peranannya sebagai rakan kongsi yang dipercayai di Negara Brunei Darussalam (NBD) dalam pembangunan negara semasa Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) 2026, dengan mengetengahkan daya tahan kewangan yang berterusan, transformasi strategik serta sumbangan bermakna terhadap pembangunan ekonomi dan sosial negara. 

AGM tersebut dipengerusikan oleh Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, juga selaku Pengerusi Lembaga Pengarah BIBD, serta dihadiri oleh Ahli-ahli Lembaga Pengarah, Badan Penasihat Syariah, pasukan pengurusan dan para pemegang saham. 

Semasa AGM itu, dimaklumkan bahawa pada tahun 2025, Kumpulan BIBD mencatatkan keuntungan bersih sebanyak BND121.6 juta, yang mencerminkan kekuatan model perniagaannya, pelaksanaan yang berdisiplin serta komitmen untuk memberikan nilai mampan kepada pihak berkepentingannya. Kumpulan BIBD juga mengekalkan penarafan kredit A- (Stabil) daripada S&P Global Ratings - penarafan yang telah dikekalkan sejak tahun 2015 -sekali gus menyerlahkan daya tahan kewangan, tadbir urus yang kukuh, kedudukan modal yang mantap serta pengurusan risiko yang berhemat.

Kunci kira-kira Kumpulan BIBD kekal kukuh, memperkukuh kedudukannya sebagai rakan kongsi kewangan yang dipercayai dan penyumbang utama kepada pembangunan ekonomi negara. Jumlah aset meningkat kepada BND11.39 bilion, manakala deposit pelanggan berkembang kepada BND8.62 bilion, mencerminkan keyakinan berterusan yang diberikan oleh pelanggan dan pihak berkepentingan terhadap Kumpulan BIBD. 

Disokong oleh amalan tadbir urus dan pengurusan risiko yang berhemat, Kumpulan BIBD kekal berada pada kedudukan yang baik untuk menyokong pertumbuhan mampan merentas ekonomi. Berpandukan prinsip Maqasid Syariah dan selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035, BIBD terus fokus untuk menjana nilai jangka panjang bagi para pemegang saham, pelanggan, masyarakat dan negara. Berteraskan falsafah 'Bruneian at Heart' (Jiwa Brunei), bank ini terus mengusahakan pertumbuhan yang bertanggungjawab, inklusif dan mampan sambil menyumbang kepada kemakmuran jangka panjang NBD. 

Mengulas mengenai prestasi dan prospek bank, Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah BIBD berkata,  "Prestasi kami mencerminkan kepercayaan yang terus diberikan oleh pelanggan, pemegang saham dan pihak berkepentingan kepada BIBD. Berpandukan Maqasid Syariah dan selaras dengan Wawasan Brunei 2035, kami kekal fokus untuk menjana nilai mampan sambil menyokong pembangunan ekonomi dan sosial negara. 

"Walaupun kami berbesar hati dengan kemajuan yang dicapai, kami menyedari bahawa persekitaran operasi kami semakin dinamik dan kompleks. Gangguan teknologi, jangkaan pelanggan yang sentiasa berubah, ketidaktentuan ekonomi dan pertimbangan kelestarian menuntut kami untuk terus menyesuaikan diri serta memperkukuh keupayaan kami. Sebagai institusi kewangan Islam, kami mengukur kejayaan bukan sahaja melalui prestasi kewangan, malah melalui impak positif yang kami hasilkan untuk pelanggan, masyarakat dan negara. Berpegang teguh pada nilai-nilai kami, kami kekal komited terhadap pertumbuhan yang bertanggungjawab, tadbir urus yang kukuh dan sumbangan yang bermakna, bagi memastikan BIBD terus berkhidmat untuk Brunei Darussalam dengan penuh integriti, sifat rendah diri dan tujuan yang jelas".

Memandangkan landskap perkhidmatan kewangan terus berkembang, BIBD kekal fokus untuk mempercepatkan perjalanan transformasi digitalnya melalui pelaburan strategik dalam teknologi, inovasi dan automasi bagi meningkatkan pengalaman pelanggan, daya tahan operasi serta penyampaian perkhidmatan. 

Melalui inisiatif seperti pembayaran bil USMS dan penghantaran OTP menerusi WhatsApp, BIBD telah memudahkan urusan pelanggan, memperluas aksesibiliti dan meningkatkan keselesaan dalam perkhidmatannya. 

BIBD juga memperkukuh agenda inovasinya menerusi inisiatif automasi yang dianggarkan dapat menjimatkan lebih 4,600 jam masa setahun, di samping memajukan projek automasi dipacu perniagaan serta menilai teknologi baharu seperti Kecerdasan Buatan (AI), Pembelajaran Mesin (Machine Learning) dan Sains Data untuk meningkatkan kecekapan operasi dan nilai kepada pelanggan. 

BIBD menyedari bahawa inovasi bermula daripada warganya dan terus melabur dalam pembangunan bakat tempatan serta pengukuhan keupayaan dalaman bagi memacu pertumbuhan dan transformasi yang mampan. Satu pencapaian penting pada tahun tersebut ialah kejayaan penganjuran 'Hackathon' peringkat bank, yang telah melahirkan 25 'Citizen Developer' (pembangun aplikasi dalaman) yang diiktiraf serta memperkukuh lagi keupayaan digital di seluruh organisasi. 

Sepanjang tahun tersebut, BIBD memperkukuh daya tahan sibernya melalui pelaksanaan Pusat Operasi Keselamatan (SOC) dalaman yang berjaya serta memperoleh pensijilan ISO/IEC 27001:2022 bagi Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumatnya. BIBD juga menyokong ekosistem keselamatan siber yang lebih luas sebagai penyokong utama Persidangan Keselamatan Siber Brunei 2025, sekali gus mengukuhkan komitmennya terhadap kerjasama industri dan kecemerlangan keselamatan siber. 

BIBD terus memainkan peranan strategik dalam menyokong pembangunan ekonomi NBD dengan memudahkan pelaburan, menggerakkan modal dan memupuk kerjasama merentas industri. 

Melalui perkongsian dengan perniagaan, institusi dan pihak berkepentingan, BIBD menyumbang kepada inisiatif yang merangsang pertumbuhan, mengukuhkan daya saing dan meningkatkan daya tahan ekonomi, demi menyokong ekonomi yang lebih dinamik dan pelbagai selaras dengan Wawasan Brunei 2035. 

Satu lagi pencapaian penting pada tahun tersebut ialah kejayaan mengatur Kemudahan Murabahah Komoditi Sindikasi bernilai USD100 juta untuk Simpor Hibiscus Sdn. Bhd., sebuah anak syarikat milik penuh Hibiscus Petroleum. Pembiayaan ini membuktikan keupayaan BIBD untuk menstruktur dan memudahkan penyelesaian pembiayaan berskala besar yang mematuhi syariah bagi menyokong pelaburan strategik dan pertumbuhan perniagaan. 

Selain pembiayaan, BIBD terus memperluas akses kepada peluang pelaburan berasaskan nilai melalui penawaran pengurusan kekayaan Islamnya. Sepanjang tahun tersebut, bank mengukuhkan tawaran pengurusan kekayaannya dengan pelancaran Dana Kecairan Dipertingkat Islam LionBIBDS (LionBIBDS Islamic Enhanced Liquidity Fund) melalui kerjasama dengan Lion Global Investors, yang menyediakan penyelesaian pelaburan patuh syariah dan diuruskan secara profesional untuk menyokong matlamat kewangan jangka panjang pelanggan. 

BIBD terus memperkukuh ekosistem keusahawanan negara, dengan mengiktiraf peranan penting Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dalam kepelbagaian ekonomi dan penciptaan peluang pekerjaan. Melalui inisiatif keusahawanan dan pembangunan komuniti, BIBD menyediakan platform yang membolehkan perniagaan tempatan berkembang, meningkatkan daya saing dan mengakses peluang pasaran yang lebih luas. Usaha-usaha ini menyokong kelestarian perniagaan, menjana peluang ekonomi dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi yang lebih berdaya tahan dan inklusif. 

BIBD kekal komited untuk memupuk pembangunan inklusif dan memperkukuh daya tahan komuniti melalui program-program yang mewujudkan peluang bermakna bagi golongan yang terdeah kepada risiko dan kurang mendapat akses kepada perkhidmatan. Melalui inisiatif utama seperti BIBD ALAF, BIBD SEED, Projek Teduh dan Projek TUNAS, pihak bank terus menyokong bidang pendidikan, keusahawanan, pemerkasaan belia dan kesejahteraan komuniti, sekali gus menyumbang kepada kemajuan sosial dan ekonomi yang berkekalan di seluruh negara.

BIBD juga bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan negara melalui inisiatif seperti Program Pembangunan Pemerkasaan dan Pemulihan di bawah Jabatan Penjara, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, serta Pusat Kemahiran ASNAF di bawah Jabatan Zakat, Wakaf dan Baitulmal (JUZWAB), Kementerian Hal Ehwal Ugama. Inisiatif-inisiatif ini membantu melengkapkan para peserta dengan kemahiran praktikal, mewujudkan peluang ekonomi dan menggalakkan kemandirian jangka panjang. 

Usaha-usaha ini mencerminkan kepercayaan BIBD bahawa kemajuan yang mampan dapat dicapai apabila individu dan komuniti diperkasakan untuk merealisasikan potensi penuh mereka serta menyertai masyarakat secara bermakna. 

Selaras dengan prinsip Maqasid Syariah dan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG), BIBD terus menerapkan elemen kemampanan dalam strategi, operasi dan proses membuat keputusannya. 

Sebagai sebahagian daripada agenda kemampanannya, BIBD meneruskan inisiatif penanaman pokok yang bertujuan memelihara dan menghijaukan alam sekitar negara, manakala Inisiatif Pemuliharaan Terumbu Karang pula memupuk kesedaran yang lebih tinggi mengenai ekosistem marin yang mampan serta pemeliharaan sumber marin untuk generasi akan datang. 

Inisiatif kemampanan pihak bank merangkumi pemuliharaan alam sekitar, amalan perniagaan yang bertanggungjawab dan usaha pendigitalan yang direka bentuk untuk menghasilkan impak positif jangka panjang terhadap masyarakat, ekonomi dan alam sekitar. 

BIBD juga terus memperluas pendekatan yang mengutamakan digital melalui penggunaan borang dalam talian, penyelesaian digital dan proses dalaman yang lebih cekap, yang bukan sahaja meningkatkan kecekapan operasi malah mengurangkan penggunaan kertas serta kesan terhadap alam sekitar. 

Selain usaha kelestariannya, pihak bank secara aktif mewakili NBD di platform-platform antarabangsa yang penting, termasuk Persidangan Antarabangsa mengenai Kewangan Islam dan Kelestarian (ICIFS) 2025, Forum ASEAN mengenai Masa Depan Kewangan yang diadakan di Bandar Seri Begawan, serta Persidangan Antarabangsa Ekonomi dan Kewangan Islam untuk Pembangunan Mampan yang dianjurkan di Ibu Pejabat Bank Dunia di Washington, D.C. 

Melalui penglibatan ini, BIBD terus memperkukuh kedudukan negara ini dalam landskap kewangan Islam serantau dan global, serta menyumbang kepada perbincangan strategik mengenai kewangan Islam, kelestarian, ESG, pembangunan MSME dan masa depan sistem kewangan yang lebih beretika, inklusif dan berdaya tahan. 

BIBD mengekalkan pensijilan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, termasuk ISO:9001 (Sistem Pengurusan Kualiti), ISO:22301 (Sistem Pengurusan Kesinambungan Perniagaan) dan ISO:27001 (Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat), yang mencerminkan komitmennya terhadap amalan terbaik global dari segi kualiti, daya tahan operasi dan keselamatan maklumat. 

Bagi mengukuhkan lagi kekuatan institusinya, BIBD telah mengekalkan penarafan kredit A- (Stabil) daripada S&P Global Ratings sejak tahun 2015, yang membuktikan asas kewangan yang kukuh, tadbir urus yang baik dan pengurusan risiko yang berdisiplin. 

Komitmen BIBD terhadap kecemerlangan turut diiktiraf menerusi beberapa anugerah antarabangsa berprestij pada tahun 2025, termasuk Bank Terbaik di Brunei dan Bank Terbaik bagi Tanggungjawab Sosial Korporat di Brunei pada Anugerah Kecemerlangan Euromoney 2025;  Inovasi Terbaik dalam Perbankan Runcit (Brunei) dan Bank Paling Mampan (Brunei) pada Anugerah Perbankan International Banker 2025; Bank Terbaik bagi Penyelesaian Pengurusan Kekayaan Islam di Brunei Darussalam 2025 pada Anugerah Dana Islam Cambridge;  Institusi Kewangan Paling Mampan Tahun Ini di Brunei 2025 pada Anugerah Tadbir Urus Baik Global (3G); dan Inisiatif Kesihatan dan Kesejahteraan Brunei Tahun Ini - Kategori Perbankan pada Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Asia 2025. 

Pencapaian - pencapaian ini mengukuhkan reputasi BIBD sebagai institusi yang dipercayai, berdaya tahan dan berpandangan jauh, yang terus mendukung piawaian antarabangsa tertinggi sambil kekal berpegang teguh pada nilai-nilai integriti, tanggungjawab dan perkhidmatan. 

Sementara itu, Pemangku Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Awang Haji Mohammad Yusri bin Haji Wahsalfelah menyatakan, "Prestasi kami mencerminkan dedikasi warga kerja kami, keyakinan pelanggan serta kekuatan strategi jangka panjang kami. Kami menyedari bahawa landskap perbankan kini semakin dinamik, saling berkait dan dipacu oleh teknologi, yang membawa bersamanya peluang besar serta cabaran baharu".

"Melangkah ke hadapan, tumpuan kami kekal untuk membina organisasi yang lebih kukuh, tangkas dan bersedia menghadapi masa hadapan. Kami akan terus mempertingkatkan keupayaan digital, mengukuhkan daya tahan dalam operasi, mempererat hubungan dengan pelanggan serta menyokong pertumbuhan perniagaan dan komuniti di seluruh Brunei Darussalam. Komitmen kami bukan sekadar untuk mengekalkan kedudukan, malah untuk terus menambah baik, belajar dan berkembang agar kami dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pihak berkepentingan serta menyumbang secara bermakna kepada pembangunan jangka panjang negara".

Sambil meneruskan perjalanan transformasinya, BIBD kekal fokus untuk memperkukuh keupayaan, mengamalkan inovasi dan mempertingkatkan sumbangan terhadap pembangunan negara. Melalui pendekatan seimbang yang menggabungkan kekuatan kewangan, kemajuan teknologi, amalan perbankan yang bertanggungjawab dan impak kepada komuniti, BIBD komited untuk mewujudkan nilai yang berkekalan bagi semua pihak berkepentingan.

Dalam persekitaran yang semakin dinamik dan terus berubah, BIBD akan terus melabur dalam modal insan, teknologi, tadbir urus dan perkongsian strategik bagi memastikan ia kekal berdaya tahan, relevan dan bersedia untuk masa hadapan. 

Berteraskan visi 'Bruneian at Heart', BIBD kekal komited untuk berkhidmat kepada negara dengan penuh iltizam, mewujudkan nilai mampan untuk pihak berkepentingan, memperkasakan komuniti serta menyumbang ke arah masa hadapan yang lebih berdaya tahan, inklusif dan makmur bagi NBD.