Berkenan rasmikan Mahrajan Hafl Al-Takharruj UNISSA

6 Og 2026 - 9:45am

Oleh : Aimi Sani

Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Mohd. Sahrizal Haji Said

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 5 Ogos. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr.) Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Pro-Canselor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) berkenan berangkat merasmikan Mahrajan Hafl Al-Takharruj UNISSA Ke-16 di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB), hari ini.

Tema Mahrajan Hafl Al-Takharruj UNISSA Ke-16 pada tahun ini ialah ‘Meneroka Khazanah Ilmu Pencetus Generasi Khayra Ummah’, yang mencerminkan komitmen UNISSA dalam meneroka, memelihara dan menginovasi khazanah keilmuan Islam bagi melahirkan generasi berilmu, beriman, bertakwa serta mampu menjadi teladan dalam pelbagai lapangan kehidupan.

Terdahulu, keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr.) Haji Al-Muhtadee Billah di BKISHHB dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan selaku Timbalan Pengerusi Majlis UNISSA; Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh selaku Pengerusi Majlis UNISSA; Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal dan Pemangku Rektor UNISSA, Dr. Awang Haji Arman bin Haji Asmad selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Mahrajan Hafl Al-Takharruj UNISSA Ke-16.

Bagi memberkati majlis, bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat dipimpin oleh Ketua Hakim Syarie, Yang Amat Arif / Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim bin Haji Besar.

Sejurus selepas itu, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan mengurniakan sabda perasmian dan seterusnya berkenan menyaksikan tayangan video pelancaran Mahrajan Hafl Al-Takharruj UNISSA Ke-16 yang memaparkan peranan UNISSA ‘Meneroka Khazanah Ilmu Pencetus Generasi Khayra Ummah’ dalam memelihara dan menginovasi khazanah keilmuan Islam di tengah-tengah kemunculan teknologi Kecerdasan Buatan dan cabaran global.

Sejurus perasmian, Duli Yang Teramat Mulia dijunjung untuk menandatangani Lembaran Kenangan perasmian Hafl Al-Takharruj Ke-16 dan seterusnya berangkat beredar menyaksikan Pameran Mahrajan Hafl Al-Takharruj UNISSA Ke-16 yang menghimpunkan khazanah manuskrip Islam, penyelidikan pelajar, inovasi digital, tradisi pengajian Islam serta sumbangan tokoh-tokoh ugama di Negara Brunei Darussalam (NBD).

Pengisian tersebut memperlihatkan kesinambungan tradisi keilmuan Islam daripada naskhah tulisan tangan dan sistem pengajian ‘talaqqi’ kepada penyelidikan kontemporari serta penggunaan teknologi digital.

Selesai menyaksikan pameran, DYTM kemudian dijunjung berangkat bagi merasmikan pelancaran bagi buku-buku terbaharu terbitan UNISSA sebanyak 36 buah buku dan berkenan menerima pesambah.

Koleksi terbitan terbaharu berkenaan merangkumi 21 buah buku ilmiah dan 15 keluaran jurnal akademik, yang mengetengahkan pelbagai disiplin ilmu meliputi pengajian Islam, Mazhab Syafii, kepimpinan, pengurusan zakat, Maqasid Syariah, penterjemahan teks ugama, undang-undang, teknologi Islam, sejarah, bioetika, dakwah, perlembagaan dan kajian manuskrip.

Antara judul dalam bahasa Melayu yang diterbitkan ialah Integrasi Mazhab Syafi‘i di Era AI, Menjulang Usia Emas dalam Bingkai Maqasid Syariah, Modul Pengurusan Amil Zakat Malaysia dan Brunei Darussalam, Penterjemahan Teks Ugama : Antara Tuntutan dan Cabaran, Sayang Tidak Seharusnya Memiliki Anak Angkat dalam Timbangan Syariat.

UNISSA Press turut memperluas penerbitan ilmiahnya dalam bahasa Inggeris melalui judul seperti Brunei’s Legal History and Dual Legal System : An Introduction, Emerging Trends in Islamic Technology, Islamic Strategic Leadership: Models and Applications, Mazhab Shafi‘i : Perspective on Halal - From Compliance to Ihsan, Mazhab Shafi‘i and the Renewal of Knowledge : Tradition, Justice and Education serta Medical Law and Bioethics : Contemporary Issues in Healthcare.

Terbitan lain yang diketengahkan termasuk Muslim Heroes of the Crusades (1096–1291) : Leadership, Valour, and Legacy, Quranic Verses on Islamic Law, Uhud : A Prime Place of Visitation in Madinah dan Understanding Constitutional Law. Dua buah karya berbahasa Arab turut diterbitkan, sekali gus mencerminkan usaha UNISSA Press memperkaya bahan ilmiah dalam pelbagai bahasa dan memperluas capaian ilmu kepada pembaca di peringkat serantau dan antarabangsa.

Pada tahun ini, UNISSA Press turut membuat kolaborasi penerbitan bersama beberapa institusi luar. Antaranya ialah penerbitan bersama Pusat Da’wah Islamiah (PDI), menerusi buku bertajuk ‘The Islamic Da’wah in Brunei Darussalam throughout the Ages’.

Selain itu, dua buah buku telah diterbitkan dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) iaitu ‘Solidariti Sejagat : Perjuangan Islam di Pentas Dunia’ dan ‘Kepimpinan Islam dalam Cabaran Empat Dimensi’. Manakala buku yang berjudul ‘Panduan Penulisan dan Penerbitan Artikel Ilmiah bagi Pengajian Islam’ pula ialah terbitan kolaborasi bersama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Penerbitan kolaborasi ini menyerlahkan komitmen UNISSA Press untuk memperkukuh jaringan kerjasama strategik dengan institusi-institusi dalam dan luar negara, di samping menjadi wadah bagi menggalakkan perkongsian kepakaran serta percambahan ilmu.

Selain penerbitan buku, koleksi terbaharu UNISSA Press turut merangkumi jurnal-jurnal akademik yang diterbitkan oleh fakulti dan pusat penyelidikan UNISSA. Antaranya ialah Ar-Rā’iq : A Refereed International Biannual Journal, Al-Hikmah : Journal of Shariah Studies, International Journal of Legal Studies and Policy dan International Journal of ‘Umrānic Studies.

Bidang teknologi, pertanian, halal dan manuskrip pula diwakili oleh Journal of Islamic Technology, Simpur Journal of Agricultural Sciences, Journal of Halal Science and Technology, Al-Shafi‘I : International Journal of Islamic Contemporary Studies serta Journal of Islamic Manuscript Studies. Kepelbagaian jurnal ini mencerminkan perkembangan penyelidikan UNISSA yang merentas bidang pengajian Islam tradisional dan disiplin kontemporari.

Penerbitan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan UNISSA Press dalam menyediakan wadah penerbitan yang berkualiti kepada para akademik, penyelidik dan ilmuwan. Ia juga menjadi medium penting untuk mendokumentasikan hasil penyelidikan, memperkembangkan wacana ilmiah serta menyebarluaskan ilmu yang berteraskan Al-Quran dan As-Sunnah kepada masyarakat.

Inisiatif ini selaras dengan tema, ‘Meneroka Khazanah Ilmu Pencetus Generasi Khayra Ummah’, yang menggambarkan komitmen UNISSA dalam meneroka, memelihara dan menginovasi khazanah keilmuan Islam bagi melahirkan generasi Khayra Ummah yang berilmu dan mampu memberikan sumbangan dalam pelbagai lapangan kehidupan.

Melalui penerbitan buku dan jurnal dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Arab, UNISSA Press terus memperkukuh peranan UNISSA sebagai sebuah institusi pengajian tinggi Islam yang aktif dalam penyelidikan, penerbitan dan pembangunan ilmu. Usaha tersebut turut mendukung aspirasi Wawasan Brunei 2035 dalam melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya, di samping memartabatkan NBD sebagai pusat kecemerlangan ilmu dan pengajian Islam.

Sebelum berangkat meninggalkan majlis, DYTM berkenan menerima pesambah daripada Majlis Perwakilan Pelajar UNISSA dan turut berkesempatan beramah mesra bersama tenaga akademik UNISSA dan pelajar-pelajar UNISSA.

Mahrajan Hafl Al-Takharruj Ke-16 berlangsung dari 5, 6 dan 8 Ogos 2026 dengan pelbagai aktiviti ilmiah, kemahiran dan warisan, termasuk Bengkel Teknik Pidato dan Pengucapan Umum, Bicara Santai Bersama Ilmuwan, Pertandingan Menambang Syair Rakis, Bengkel Pemeliharaan, Pemuliharaan, Pendigitalan dan Pengkatalogan Manuskrip, Bengkel Demonstrasi dan Membaca Tulisan Jawi, program Convo-Set-Career, Pertandingan Tulisan Jawi serta Kuiz Khazanah Ilmu secara dalam talian.

Mahrajan Hafl Al-Takharruj UNISSA Ke-16 pada tahun ini dikendalikan bersama oleh Pejabat Hal Ehwal Pelajar, Fakulti Pengurusan Pembangunan Islam dan Pusat Kajian Manuskrip Islam, UNISSA.

Mahrajan Hafl Al-Takharruj pada lazimnya dianjurkan setiap tahun bagi meraikan pelajar-pelajar yang telah menamatkan pengajian mereka di UNISSA dan bagi memeriahkan lagi Majlis Hafl Al-Takharruj atau Majlis Konvokesyen UNISSA yang akan berlangsung pada 17 Ogos ini.

Penganjuran Mahrajan Hafl Al-Takharruj UNISSA Ke-16 mencerminkan komitmen berterusan UNISSA dalam memelihara warisan intelektual Islam, memperkasa penyelidikan dan penerbitan, memanfaatkan teknologi digital serta membentuk generasi Khayra Ummah yang berilmu, berkemahiran dan berakhlak mulia.

PERASMIAN MAHRAJAN_220726_MDRIZAL_32