Berkenan menyerahkan bendera negara kepada Kontinjen NBD

14 Jul 2026 - 10:43am

Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. IbrahimFoto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid

BERAKAS, Isnin, 13 Julai. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDNOC) berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Penyerahan Bendera Negara kepada Kontinjen Negara Brunei Darussalam (NBD) ke Sukan Komanwel Ke-23, 2026, Glasgow, Scotland yang diadakan di Bilik Hijau, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, hari ini.

Majlis didahului dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Metassan bin Haji Tahir, diikuti dengan sembah alu-aluan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.

Dalam sembah alu-aluan Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menyembahkan pada tahun ini, NBD sekali lagi akan menyertai Sukan Komanwel dengan penyertaan dalam tiga acara iaitu sukan olahraga, renang dan angkat berat.

Sembah Yang Berhormat mengongsikan kontinjen negara terdiri daripada enam atlet, iaitu tiga lelaki dan tiga wanita, yang akan diiringi oleh enam orang pegawai merangkumi seorang Chef de Mission, seorang ketua urus setia, seorang pegawai urus setia serta tiga jurulatih.

“Peramba saya merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada para atlet yang terpilih mewakili NBD. Semoga para atlet sentiasa memberikan persembahan terbaik, menjunjung semangat kesukanan serta meletakkan nama negara di kedudukan yang terpuji.

“Di samping mengejar kecemerlangan prestasi, jagalah tingkah laku dan nama baik negara dengan penuh integriti. Di luar gelanggang, ‘abiskita’ adalah juga wajah kepada negara. Tunjukkan disiplin yang jitu, mematuhi segala peraturan dan elakkan sebarang perkara yang boleh menjejaskan imej negara,” sembah Yang Berhormat lagi.

Kepada para atlet, sembah Yang Berhormat, jadikanlah penyertaan ini sebagai satu peluang dan cabaran untuk terus mempertingkatkan prestasi dengan persediaan fizikal dan mental yang kental serta keyakinan diri yang tinggi.

Lakukan yang terbaik demi mencapai puncak prestasi sendiri. Setiap titisan peluh di gelanggang adalah bukti perjuangan ‘abiskita’ yang sudah setentunya menerbitkan kebanggaan semua.

Terdahulu, Yang Berhormat menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas titah perkenan baginda bagi NBD menyertai Sukan Komanwel Ke-23, pada tahun ini yang akan berlangsung di Glasgow, Scotland pada 23 Julai hingga 2 Ogos 2026.

Bagi pihak Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), sembah Yang Berhormat, keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ke majlis ini adalah disanjung tinggi dan penuh bermakna, dalam mana keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia ini menunjukkan sokongan dan keprihatinan DYTM yang berterusan dalam kemajuan dan pembangunan sukan di negara ini.

Sejurus itu, DYTM kemudiannya berkenan mengurniakan sabda dan seterusnya menyempurnakan penyerahan Bendera NBD kepada Pengiran Siti Amal Jariah binti Pengiran Haji Matjinen selaku Chef de Mission Kontinjen NBD ke Sukan Komanwel Ke-23, 2026, Glasgow, Scotland.

Majlis diakhiri dengan Doa Selamat yang dipimpin oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Metassan, diikuti dengan sesi bergambar ramai bersama DYTM.

Turut hadir, Pemangku Pesuruhjaya Tinggi British ke NBD, Ken O’Flaherty; Setiausaha Tetap KKBS, Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman; Timbalan Setiausaha Tetap KKBS, Dayang Hajah Noridah binti Abdul Hamid; Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Pemilihan dan Penilaian Atlet Kebangsaan; wakil-wakil Persatuan Sukan Kebangsaan dan pegawai-pegawai kanan KKBS serta ahli keluarga atlet.

Sukan Komanwel merupakan antara temasya sukan antarabangsa yang berprestij selepas Sukan Olimpik dan Sukan Asia. Kejohanan yang diadakan setiap empat tahun sekali itu akan berlangsung di Glasgow, Scotland bermula pada 23 Julai hingga 2 Ogos 2026.

NBD mula menyertai Sukan Komanwel pada tahun 1990. Kali terakhir NBD menyertai kejohanan tersebut ialah pada tahun 2022 yang diadakan di Birmingham, England. Kontinjen NBD dijangka bertolak ke Glasgow, Scotland pada 19 Julai dan 21 Julai 2026.