Oleh : Aimi Sani
Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
GADONG, Selasa, 21 Julai. - Majlis Penandatanganan Kontrak Kelab Bola Sepak Duli Pengiran Muda Mahkota (DPMM FC) bersama pemain-pemain dan penaja-penaja bagi Kejohanan Liga Super Malaysia Musim 2026 / 2027 telah berlangsung di Rizqun International Hotel, petang tadi.
Berkenan berangkat menyaksikan Majlis Penandatanganan tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri merangkap Pengerusi DPMM FC.
Berangkat sama, anakanda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim.
Terdahulu, keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dijunjung oleh Yang Amat Mulia Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim bin Pengiran Indera Mahkota Pengiran Anak (Dr.) Kemaludin Al-Haj, Timbalan Pengerusi DPMM FC dan Pengurus Am DPMM FC, Awang Mohamad Ali bin Haji Momin.
Majlis dimulakan dengan penandatanganan kontrak antara DPMM FC dan 25 pemain kelab tersebut, diikuti dengan kontrak bersama penaja-penaja yang menyokong kelab berkenaan.
Bagi penandatanganan kontrak pemain, DPMM FC diwakili oleh Pengurus Am DPMM FC, Awang Mohamad Ali dan Penolong Pengurus Pasukan, Awang Rosmin bin Haji Kamis.
Sementara itu, bagi penandatanganan kontrak penaja, kelab tersebut diwakili oleh Pengurus Am DPMM FC dan Pengurus Pemasaran, Awang Haji Momin bin Haji Mohd. Ja'afar.
Penaja-penaja yang terlibat termasuklah Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB); Datastream Digital Sdn. Bhd.; Mitsubishi Corporation; Jollibee Entrek (B) Sdn. Bhd.; Baiduri Bank Sendirian Berhad; Hui Huang Enterprise (You.C1000); Begawan Athlete Enterprise; MCHB-RRP Foods Sdn. Bhd.; Brunei Shell Marketing Sdn. Bhd. (BSM); Borneo Genomics Innovation Sdn. Bhd.; Nazmi Textile Mall; Waznah Enterprise Sdn. Bhd. dan Sports Nation Company.
Kesemua penaja diwakili oleh pengurus dan pegawai-pegawai kanan syarikat masing-masing.
Seterusnya, Duli Yang Teramat Mulia berkenan dijunjung bagi menyempurnakan pengurniaan cenderamata kepada penaja-penaja DPMM FC serta menerima pesambah daripada kelab yang disampaikan oleh Awang Mohamad Ali.
Majlis turut dimeriahkan dengan pelancaran rasmi jersi baharu DPMM FC bagi Musim 2026 / 2027. Sebelum berangkat meninggalkan majlis, DYTM dijunjung berkenan bergambar ramai bersama para pemain dan penaja.
Bagi Musim 2026 / 2027 sebanyak 12 pasukan akan berentap dalam Kejohanan Liga Super Malaysia, yang akan berlangsung dalam dua pusingan.
DPMM FC dijadualkan untuk beraksi sebanyak 22 perlawanan iaitu 11 perlawanan di gelanggang sendiri iaitu di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas dan 11 lagi perlawanan di luar negara iaitu Malaysia.
Sebanyak 12 pasukan yang akan mengambil bahagian pada musim ini ialah Johor Darul Ta'zim (JDT), Kuching City FC, Selangor FC, Kuala Lumpur City FC, Terengganu FC, Star City FC, Negeri Sembilan FC, Penang FC, Sabah FC, DPMM FC, Melaka FC dan Kelantan Red Warrior FC.
Selain itu, DPMM FC juga akan mengambil bahagian dalam Kejohanan Piala FA yang menggunakan format kalah mati serta kejohanan paling berprestij dalam bola sepak Malaysia iaitu Piala Malaysia.
Bagi menghadapi cabaran musim ini, DPMM FC telah melakukan persiapan rapi dengan membentuk sebuah pasukan mantap yang menggabungkan pemain-pemain baharu dan sedia ada termasuk pemain import bagi memperkukuhkan pasukan dan menyahut cabaran kejohanan musim ini.
Perlawanan pertama DPMM FC menentang Penang FC akan dijadualkan berlangsung pada Ahad, 23 Ogos 2026 bertempat di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan, Malaysia.