Berangkat melawat Western Sydney University Agritech Precinct

15 Og 2026 - 6:42am

Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri

Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Pg. Nur Hafilah Pg. Osman

SYDNEY, AUSTRALIA, Jumaat, 14 Ogos. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri meneruskan Lawatan Rasmi ke Australia, hari ini, dengan berangkat melawat ke Western Sydney University Agritech Precinct dan tinjauan ke His Majesty's Australian Ship (HMAS) Yarra serta Holsworthy Barracks.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah mula-mula mengadakan lawatan ke Western Sydney University Agritech Precinct di Hawkesbury Campus bagi demonstrasi agritech.

Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dijunjung oleh Deputy Vice - Chancellor, Western Sydney University, Profesor Ian Anderson dan Pengarah Hawkesbury Institute for the Environment, Profesor Mark Tjoelker.

Kemudian, Duli Yang Teramat Mulia berkenan berangkat melawat Smart Glasshouse dan mendengar sembah penerangan daripada Profesor Mark Tjoelker mengenai fungsi Smart Glasshouse dalam menjamin keselamatan makanan melalui penggunaan teknologi terkini (agritech) dan menjana peluang kerjasama serantau serta menyaksikan demonstrasi penggunaan teknologi agritech termasuk tunjuk cara robotik.

Semasa keberangkatan tersebut, DYTM berkenan berinteraksi bersama dua penuntut Western Sydney University.