Siaran Akhbar : Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri
Foto : Muhammad Asri Awang Haji Abas, Ihsan Azeez Jaafar
MANILA, REPUBLIK FILIPINA, Selasa, 21 Julai. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri, Negara Brunei Darussalam (NBD) berkenan berangkat mengadakan Pertemuan Dua Hala bersama Setiausaha Agung ASEAN, Tuan Yang Terutama Dr. Kao Kim Hourn; dan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Republik Demokratik Rakyat Lao, Tuan Yang Terutama Thongsavan Phomvihane.
Semasa Pertemuan Dua Hala bersama Setiausaha Agung ASEAN, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen bersabda merakamkan penghargaan atas sokongan berterusan Sekretariat ASEAN dalam memajukan usaha pembinaan Komuniti ASEAN serta pelaksanaan ASEAN Community Vision 2045.
Pertemuan Dua Hala bersama Tuan Yang Terutama Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Republik Demokratik Rakyat Laomemberi peluang kedua-dua belah pihak menyatakan kegembiraan terhadap kemajuan yang memberangsangkan dalam Strategic Partnership antara NBD dan Republik Demokratik Rakyat Lao, khususnya dalam bidang perdagangan, pertahanan, pendidikan serta hubungan antara rakyat.
Pada sebelah malam, Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah binti Adam berkenan berangkat ke Majlis Makan Malam Gala bersama Menteri-menteri Luar Negeri ASEAN, Menteri-menteri Luar Rakan-rakan Dialog ASEAN serta rakan-rakan luar yang lain.
Majlis berkenaan dihoskan oleh Setiausaha Hal Ehwal Luar Negeri Republik Filipina, Puan Yang Terutama Ma. Theresa P. Lazaro, di Museo del Galeon.