Belia perlu cekal mendepani cabaran, bina potensi diri

10 Og 2026 - 4:53am

Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 8 Ogos. - Sebagai belia, antara cabaran dan ujian yang dihadapi pada masa ini ialah dari segi mendapatkan pekerjaan tetap sama ada dalam sektor kerajaan mahupun swasta, namun kita tidak seharusnya berasa sedih, lemah dan berputus asa, kerana rahmat Allah Subhanahu Wata’ala lebih luas daripada cabaran dan ujian yang kita hadapi.

Belia perlu sentiasa menjaga hubungan dengan Allah Subhanahu Wata’ala dengan mempertingkatkan amal ibadah, berzikir dan berdoa, sentiasa bersangka baik kepada-Nya, mengimani bahawa rezeki yang Allah berikan dalam bentuk pekerjaan bukan hanya terhad dalam sektor kerajaan dan swasta bahkan termasuk juga secara persendirian seperti keusahawanan. Selain itu, belia perlu mengenali potensi dan nilai diri kerana setiap daripada kita mempunyai potensi yang berharga, sentiasa berterusan menaik taraf diri dari semasa ke semasa dengan ilmu ugama mahupun kemahiran yang boleh membantu membina diri, memberikan sumbangan secara aktif dalam bentuk tenaga dan buah fikiran dalam aktiviti kemasyarakatan serta meneroka diri dengan membuat pekerjaan sambilan sementara menunggu pekerjaan tetap.

Dengan ilmu, kemahiran dan pengalaman yang kita peroleh, kita dapat menyumbang kepada nusa, bangsa dan negara serta tidak mudah berputus asa kerana ada banyak tempat yang boleh kita sumbangkan sebagai belia. Sebagai belia siaga masa depan, kita juga mampu menyumbang bagi pencapaian Wawasan Brunei 2035.

Demikian antara inti pati tazkirah bertajuk ‘Di Sebalik Ujian, Ada Harapan: Belia Siaga Masa Depan’ yang disampaikan oleh Daie Bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei, Dayang Hajah Siti Nurul Hazwani binti Haji Mohd. Yussof bagi menyerikan Malam Munajat Khas untuk Wanita Ke-38 anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) Kali Ke-241 pada malam tadi dari Mushalla Al-Ameen, Pusat Da’wah Islamiah.

Menyemarakkan Program Malam Munajat minggu ini ialah para Ahli Jawatankuasa Kerja Majlis Belia Brunei; Ahli Jawatankuasa Kumpulan Belia Masjid Senegara; Kumpulan Akhawatus Sofiyyah, Program Keugamaan Belia di bawah KHEU; Ahli Jawatankuasa Bahagian Belia dan Beliawanis Masjid Daerah Temburong serta muslimah dan jemaah masjid di beberapa buah masjid di seluruh negara.

Turut menyertai, warga kerja wanita di bawah KHEU dan individu yang mengikuti program ini secara maya dari kediaman masing-masing. Atur cara Munajat malam tadi dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Dayang Dalili Bazilah binti Haji Jailani yang merupakan Ahli Jawatankuasa Kerja Tadbir Pusat Biro Kerohanian dan Keharmonian, Majlis Belia Brunei.

Diikuti dengan bacaan Surah Al-Mulk beramai-ramai dipimpin oleh Ahli Jawatankuasa Unit Jaringan dan Kerjasama Strategik, Kumpulan Belia Masjid Senegara, Ahli Jawatankuasa Bahagian Belia dan Beliawanis Masjid Daerah Temburong, Dayang Nur Afina binti Haji Adam.

Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Ahli Jawatankuasa Kerja Tadbir Pusat Biro Kerohanian dan Keharmonian, Majlis Belia Brunei, Dayang Nuramalnajihah@Zulaikha binti Hanip.

Sejurus selesai tazkirah, disusuli dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah dipimpin oleh Dayang Nur Afina binti Haji Adam.

Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Kumpulan Akhawatus Sofiyyah, Program Keugamaan Belia di bawah KHEU, Dayang Tuty Haryati Agustina binti Haji Abu Bakar.

Program Malam Munajat bertujuan mengajak masyarakat Islam mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata’ala melalui amalan kerohanian, memohon keampunan, membaca dan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran serta merafakkan dan mengaminkan doa secara beramai-ramai dengan penuh pengharapan agar Negara Brunei Darussalam berserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada sebarang musibah dan penyakit berjangkit.

Semoga segala amalan kerohanian dan doa munajat yang kita rafakkan serta aminkan diterima dan dimakbulkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala. Orang ramai dialu-alukan untuk ikut serta dalam acara Malam Munajat yang diadakan secara maya melalui pautan berikut: http://tiny.cc/munajatkheu.