Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji SulaimanFoto : Azmah Haji Ahad
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 6 Ogos. - Brunei Darussalam Arbitration Centre (BDAC) dan Singapore Chamber of Maritime Arbitration (SCMA), sebuah institusi timbang tara maritim antarabangsa, hari ini, memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) sebagai langkah strategik bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang penyelesaian pertikaian maritim semasa Minggu Maritim Brunei Darussalam 2026 yang berlangsung di Hab Tenaga Brunei Dermaga Diraja, di sini.
MoU tersebut ditandatangani oleh Pengerusi BDAC, Yang Arif Radin Safiee bin Radin Mas Basiuni dan Pengerusi SCMA, Chao Hick Tin.
Berucap pada majlis tersebut, Yang Arif Radin Safiee menekankan bahawa MoU tersebut mencerminkan komitmen bersama antara BDAC dan SCMA untuk memperkukuh penyelesaian pertikaian maritim melalui perkongsian pengetahuan, pembangunan kapasiti dan kerjasama profesional.
Menurutnya, kerjasama tersebut juga menyokong pembangunan berterusan sektor maritim Negara Brunei Darussalam (NBD) serta memperkasakan kedudukan BDAC sebagai sebuah pusat penyelesaian pertikaian alternatif di rantau ini.
Majlis diteruskan dengan ucapan khas daripada Chao Hick Tin yang mengetengahkan komitmen SCMA untuk menjalin kerjasama dengan BDAC untuk jangka masa yang panjang.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama serantau, menggalakkan perkongsian pengetahuan, serta memajukan timbang tara maritim bagi memenuhi keperluan perdagangan rentas sempadan yang semakin berkembang dan menyokong pertumbuhan berterusan industri maritim.
MoU ini merupakan satu pencapaian penting dalam memperkukuhkan kerjasama antara BDAC dan SCMA ke arah memajukan penyelesaian pertikaian maritim, mempereratkan kerjasama serantau serta menyokong pembangunan sektor maritim NBD melalui amalan penyelesaian pertikaian alternatif yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Hadir menyaksikan majlis tersebut ialah Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke NBD, Tuan Yang Terutama Yip Wei Kiat; Presiden Persatuan Undang-Undang NBD, wakil-wakil daripada Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam, Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Brunei dan rakan-rakan industri maritim.