Siaran Akhbar dan Foto : Bank Baiduri
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 7 Ogos. – Kejohanan golf amal Baiduri Masters 2026 bermula secara rasmi pagi tadi di Kelab Golf Pantai Mentiri (PMGC), menandakan bermulanya satu lagi edisi kejohanan yang menggabungkan semangat persaingan, persahabatan dan kebajikan masyarakat.
Majlis pelepasan rasmi kejohanan disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu; dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Perbendaharaan Kumpulan dan Perbankan Institusi Bank Baiduri, Pengiran Azaleen bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, merangkap Presiden Baiduri Masters 2026, serta Pengerusi PMGC, Kolonel (B) Awang Zahrin bin Haji Zunaidi, menandakan permulaan kejohanan tahun ini.
Majlis berkenaan turut disaksikan oleh Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif PMGC, pegawai kejohanan, para penaja dan pemain golf yang hadir seawal pagi sebelum saingan berlangsung pada hujung minggu pertama daripada dua hujung minggu pertandingan.
Memasuki edisi ke-28 sejak diperkenalkan pada 1995, Baiduri Masters terus menjadi acara tetap dalam kalendar sukan dan kemasyarakatan negara. Kejohanan itu menghimpunkan pemain golf, komuniti perniagaan, penaja, sukarelawan dan penyokong bagi mengumpul dana untuk badan-badan amal tempatan sambil mempromosikan semangat kesukanan.
Pada tahun ini, hasil kutipan daripada kejohanan akan disalurkan kepada La Vida, SMARTER Brunei, Learning Ladders Society, Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, dan An-Nur Harapan. Pada 2025, kejohanan berkenaan berjaya menarik penyertaan lebih 800 pemain golf serta mengumpul sebanyak BND82,000 untuk tujuan kebajikan.
Dalam saingan pusingan pembukaan, Muhd. Irwan Haji Abdul Hamid muncul pendahulu awal selepas mencatat 70 pukulan, sekali gus mendahului carta dengan kelebihan satu pukulan. Haji Shahminan Haji Damit berada di tempat kedua dengan71 pukulan, manakala Suhaimi Haji Ibrahim berada di kedudukan ketiga dengan 77 pukulan.
Pengiran Haji Ahmad Zaki Al Hakim Pengiran Haji Jambol berada di tempat keempat dengan 78 pukulan, diikuti Lee Jack Hui di tempat kelima selepas mencatat 81 pukulan. Berkongsi kedudukan keenam ialah Dato Haji Suhaimi Haji Gapar dan Bakhtiar Yahya, masing-masing dengan 83 pukulan.
Dengan baki dua hari lagi saingan hujung minggu ini sebelum kejohanan bersambung minggu hadapan, persaingan bagi merebut Green Jacket dan Challenge Trophy masih terbuka luas.
Turut menjadi tarikan ialah hadiah hole-in-one yang ditawarkan, termasuk sebuah BMW X3 di Lubang 13, Porsche Macan EV di Lubang 16, MINI Cooper di Lubang 9 serta hadiah wang tunai BND20,000 di Lubang 7.
Tiada pemain berjaya mencatatkan hole-in-one pada hari pembukaan, namun seorang peserta hampir membawa pulang hadiah utama apabila pukulannya berhenti hanya 3.35 sentimeter dari lubang sekali gus menjadi antara detik paling mencuri perhatian pada hari pembukaan.
Pendaftaran bagi Baiduri Masters 2026 masih dibukakan dengan yuran BND120 bagi kategori Lelaki, Wanita dan Senior, manakala BND60 bagi kategori Junior.
Pendaftaran boleh dibuat secara dalam talian melalui platform 'Pocket' atau secara bersemuka di PMGC, yang turut menyediakan borang pendaftaran kepada orang ramai.