Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid
Foto : Muhammad Asri Awang Haji Abas
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 13 Ogos. - Sempena memperingati Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam yang disambut pada 12 Rabiulawal setiap tahun, Majlis Pembukaan Dikir Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam kini bermula dengan pembukaan Dikir Syarafil Anam di semua masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara bagi tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi selama 12 malam berturut-turut mulai malam tadi.
Bagi menghidupkan lagi Sambutan Maulidur Rasul, Majlis Bercorak Keagamaan sempena Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam turut diadakan di Istana Nurul Iman.
Antara yang hadir pada majlis berkenaan, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan ll, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof; Menteri di JPM (Urustadbir Perkhidmatan Awam), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad; dan Menteri di JPM (Sekuriti dan Undang-Undang), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu.
Majlis berkenaan dimulakan dengan Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah yang diimamkan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Awang Haji Abdul Aziz bin Haji Abdul Ghani dan kemudiannya diteruskan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Sayyidul Istighfar beramai-ramai.
Majlis disusuli dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Awang Ashizal bin Zainal Abidin. Manakala tazkirah bertajuk 'Menyemai Cinta Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam melalui Doa Memohon Barakah Dalam Setiap Rezeki' disampaikan oleh Awang Haji Muskrisman Safari bin Haji Mustapa.
Seterusnya majlis diteruskan dengan Dikir Assalaimualaika dan Asyrakal dari JPM, sementara Dikir Khairuman dari Badan Ugama Islam Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), manakala Ahli Jawatankuasa Tertinggi Belia Masjid Senegara pula membawakan Dikir Bisyahrin serta persembahan Dikir Al-Hamdu dan Dikir Badat dibawakan dari Jabatan Pengajian Islam (JPI), Bahagian Sekolah Ugama (Brunei I).
Doa Dikir dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Awang Haji Abd. Aziz bin Haji Abdul Ghani, manakala Doa Peliharakan Sultan dibacakan oleh Muhammad Amin bin Haji Salim.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah para pegawai dari JPM, Badan Ugama Islam PPDB, Ahli Jawatankuasa Tertinggi Belia Masjid Senegara dan JPI, Bahagian Sekolah Ugama (Brunei I).
Sementara bagi jemaah perempuan pula, majlis diadakan berasingan di Surau Istana Nurul Iman.
Terdahulu, majlis dimulakan dengan Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah dan kemudiannya diteruskan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Sayyidul Istighfar, disusuli dengan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran.
Manakala tazkirah bertajuk 'Menyemai Cinta Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam melalui Doa Memohon Barakah Dalam Setiap Rezeki' disampaikan oleh Dayang Nurul 'Ain binti Mohd. Redzuan@ Jasmona anak Janteang,
Seterusnya, majlis diteruskan dengan persembahan Dikir Assalaimualaika dan Asyrakal dari JPM, sementara Dikir Khairuman dari Perkumpulan Kebajikan Isteri dan Keluarga Polis (PEKERTI), manakala Muslimah Masjid Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Bukit Beruang pula membawakan Dikir Bisyahrin serta persembahan Dikir Al-Hamdu dan Dikir Badat dibawakan oleh JPI, Brunei I.