Oleh : Siti Rokiah Abdullah
Foto : Ihsan Majlis Perundingan Kampung Menunggol
MENUNGGOL, Selasa, 24 November. - Sukan Ria Kampung Menunggol berlangsung dengan meriah dan penuh suasana ceria, menyatukan lebih 500 penduduk kampung daripada pelbagai peringkat umur dalam aktiviti sukan dan permainan yang diadakan bagi memeriahkan suasana serta mengeratkan hubungan sesama masyarakat.
Pelbagai jenis permainan telah disediakan oleh Majlis Perundingan Kampung (MPK) bersama penduduk kampung, sekali gus memberi peluang kepada para peserta untuk turut serta dalam aktiviti santai yang menghiburkan dan penuh semangat kekeluargaan.
Antara acara yang menjadi tumpuan ialah Pertandingan Tarik Kalat Keluarga, yang melibatkan setiap pasukan terdiri daripada empat lelaki dan tiga perempuan.
Dalam pertandingan tersebut, RW Family berjaya meraih gelaran johan setelah menewaskan Rohayu Family, sekali gus mencetuskan suasana penuh semangat dan sorakan daripada para penonton.
Sukan ria berkenaan turut dimeriahkan lagi dengan acara cabutan nombor bertuah yang menjadi antara tarikan kepada penduduk kampung. Ramai yang setia menanti hingga ke penghujung acara bagi mengetahui pemenang cabutan bertuah yang menawarkan keterujaan kepada para peserta dan pengunjung.
Penganjuran Sukan Ria Kampung Menunggol tersebut bukan sahaja bertujuan memberikan hiburan dan menggalakkan penglibatan penduduk dalam aktiviti riadah, malah menjadi wadah untuk memperkukuh silaturahim, memupuk nilai perpaduan serta semangat kekeluargaan dalam kalangan penduduk kampung.
Selain itu, kegiatan seumpama berkenaan diharap dapat menjadi kenangan manis dan ristaan yang akan terus diwarisi serta dikenang oleh generasi muda pada masa akan datang, sekali gus mengekalkan semangat kebersamaan dalam masyarakat kampung.