Pengiktirafan suntik semangat murid capai kecemerlangan

25 Nov 2026 - 12:16am

Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 24 November. – Seramai 143 murid Sekolah Ugama Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) menerima sijil dan penghargaan pada Majlis Penyampaian Sijil Sekolah-Sekolah Rendah Ugama (SSSRU) Darjah VI Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi serta Penganugerahan Hadiah kepada Murid-Murid Cemerlang Peperiksaan Akhir Tahun dan Peperiksaan Kelayakan Sijil Sekolah-Sekolah Rendah Ugama (SSSRU) Darjah VI Tahun 1448H/2026M yang diadakan pada petang tadi di Dewan Serbaguna Sekolah Menengah YSHHB.

Daripada jumlah tersebut, seramai 92 murid menerima SSSRU Darjah VI Tahun 1447H/2025M, manakala 36 murid menerima hadiah atas pencapaian cemerlang dalam Peperiksaan Akhir Tahun 2026. Sementara itu, 15 murid turut menerima hadiah atas pencapaian cemerlang dalam Peperiksaan Kelayakan SSSRU Darjah VI Tahun 1448H/2026M.

Hadir selaku tetamu khas majlis, Ketua Bahagian Peperiksaan, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Azman bin Haji Jaya.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti dengan persembahan. Acara kemudiannya diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Guru Besar Sekolah Ugama YSHHB, Awang Azmerul bin Haji Haris, selaku Pengerusi Majlis.

Acara disusuli dengan penyampaian sijil dan hadiah kepada para penerima yang disempurnakan oleh tetamu khas majlis.

Penganjuran majlis berkenaan merupakan salah satu usaha untuk mengiktiraf pencapaian dan kejayaan murid-murid, di samping menghargai sokongan ibu bapa serta komitmen para guru dalam membimbing mereka.

Pengiktirafan tersebut diharap dapat menjadi dorongan kepada murid-murid untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang pendidikan.