Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Pendidikan
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 12 November. - Jabatan Sekolah-Sekolah (JSS), Kementerian Pendidikan telah mengadakan Majlis Penyampaian Sijil dan Penghargaan Pelaksanaan Praktikal BTEC Mini Café 2026 yang berlangsung di Lecture Theatre 2, Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri, pagi tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Pegawai Tugas-Tugas Khas Kanan (Profesional), JSS, Kementerian Pendidikan, Dayang Hajah Suriani binti Haji Mohd. Hashim.
Majlis tersebut diadakan bagi menghargai komitmen, sumbangan dan penglibatan guru serta pelajar dalam menjayakan pelaksanaan BTEC Mini Café 2026, di samping memberikan pengiktirafan terhadap usaha dan pencapaian mereka sepanjang mengikuti program berkenaan.
Program BTEC Mini Café 2026 telah dilaksanakan bermula pada 27 Julai hingga 3 Oktober 2026 dengan melibatkan tiga sekolah menengah kerajaan iaitu Maktab Sultan Omar ‘Ali Saifuddien, Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam dan Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri.
Seramai lapan guru dan 36 pelajar Program BTEC telah terlibat secara langsung dalam pelaksanaan program tersebut.
Pelaksanaan Program BTEC Mini Café 2026 merupakan salah satu inisiatif Unit Program-program Khas, JSS, Kementerian Pendidikan yang diselaraskan oleh Pegawai Fokal BTEC Mini Café, Dayang Fatimah binti Md. Jaafar, dengan kerjasama pihak sekolah dan guru-guru BTEC Hospitality yang terlibat.
Pelaksanaan BTEC Mini Café merupakan salah satu inisiatif pembelajaran berasaskan amali yang memberikan peluang kepada para pelajar untuk mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang telah dipelajari melalui pengalaman dalam persekitaran kerja sebenar.
Melalui program ini, para pelajar berpeluang meningkatkan kemahiran dalam bidang penyediaan makanan dan minuman, pengendalian pelanggan, pengurusan pesanan, pengendalian pembayaran serta aspek kebersihan dan keselamatan makanan.
Selain itu, program berkenaan turut menjadi platform bagi membentuk kemahiran insaniah dalam kalangan pelajar, khususnya dari segi komunikasi, kerja berpasukan, pengurusan masa, disiplin, keyakinan diri dan tanggungjawab dalam melaksanakan tugasan yang diberikan.
Turut hadir, Ketua Pusat Keusahawanan Inovasi, Kementerian Pendidikan, Awang Adna Shatriremie bin Haji A. Abdul Rahman, ketua-ketua unit dan wakil-wakil dari JSS serta timbalan-timbalan pengetua daripada ketiga-tiga buah sekolah yang terlibat.
Semasa majlis berkenaan, para pelajar Program BTEC dari tiga buah sekolah telah menyampaikan kongsi sama, diikuti dengan penyampaian sijil penyertaan kepada para pelajar BTEC dan sijil penghargaan kepada pihak sekolah dan guru-guru Program BTEC sebagai tanda pengiktirafan atas kerjasama, komitmen serta sumbangan mereka dalam menjayakan Program BTEC Mini Café 2026.
Penganjuran majlis seumpama ini diharap akan dapat meningkatkan motivasi dan semangat para pelajar untuk terus mengembangkan kemahiran vokasional serta mengaplikasikan ilmu yang diperoleh dalam situasi pekerjaan sebenar.
Di samping itu, inisiatif ini diharap dapat memperkukuh kerjasama antara JSS, Kementerian Pendidikan dengan pihak sekolah dalam memastikan pelaksanaan program BTEC terus relevan, berkualiti dan memberikan manfaat kepada para pelajar.
Secara keseluruhannya, pelaksanaan BTEC Mini Café 2026 mencerminkan komitmen JSS, Kementerian Pendidikan dalam memperkasa pendidikan berasaskan kemahiran melalui pendekatan pembelajaran secara praktikal, sekali gus menyediakan para pelajar dengan kemahiran dan pengalaman yang bersesuaian dengan keperluan dunia pekerjaan.