5 buku baharu terbitan DBP dilancarkan

14 Jul 2026 - 10:18am

Oleh : Marlinawaty Hussin / Foto : Azmah Haji Ahad

BERAKAS, Isnin, 13 Julai. - Sebanyak lima judul buku baharu telah dilancarkan dalam Majlis Pelancaran Buku Terbaharu Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang diadakan di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, di sini, pagi tadi.

Pelancaran buku-buku berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Pendidikan, Dr. Hajah Lilly Suzana binti Haji Shamsu, selaku tetamu kehormat.

Tetamu kehormat kemudian menyempurnakan penyampaian buku terbaharu serta dokumen perjanjian kepada para penulis sebagai tanda penghargaan atas sumbangan mereka dalam memperkaya khazanah penerbitan negara.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan nyanyian Lagu Kebangsaan Allah Peliharakan Sultan, diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

Seterusnya, para hadirin menyertai sesi membaca selama 10 minit sebelum majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Pemangku Timbalan Pengarah, DBP, Dayang Hajah Haireni binti Awang Haji Damit.

Majlis diserikan dengan Persembahan Bicara Berirama Bahasa Isyarat yang dipersembahkan oleh 15 peserta dari Sekolah Sunshine.

Persembahan yang bertemakan 'Bahasa Isyarat, Jambatan Komunikasi' itu bukan sahaja membuka mata tentang keindahan bahasa isyarat, malah menjadi wadah terbaik dalam memupuk kesedaran tentang kepentingan komunikasi inklusif sejak usia awal.

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dr. Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah; Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab; serta para pegawai kanan dari KKBS dan Kementerian Pendidikan.

Majlis ini mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkasakan budaya membaca, memartabatkan bahasa dan sastera Melayu serta menyokong usaha penghasilan karya-karya berkualiti yang menyumbang kepada pembangunan ilmu dan warisan negara.