4 warga asing ditahan dalam Operasi Kakas JIPK

30 Jul 2026 - 7:30am

Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 29 Julai. - Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) melalui Penguatkuasa Undang-Undang Cawangan Kuala Belait terus giat melaksanakan Operasi Kakas 2026 bagi membendung pesalah-pesalah imigresen di Negara Brunei Darussalam.

Dua operasi penguatkuasaan, iaitu Operasi Kakas 77/2026 dan Operasi Kakas 78/2026, telah dijalankan dengan menyasarkan kawasan sekitar Mukim Liang dan Mukim Belait.

Dalam Operasi Kakas 77/2026 di Mukim Liang, seramai 12 warganegara asing telah diperiksa. Daripada jumlah tersebut, tiga individu ditahan dan dibawa ke Bahagian Penguatkuasa Undang-Undang bagi membantu siasatan lanjut.

Dua daripada mereka dipercayai melakukan kesalahan di bawah Bab 55(4)(a)(b)(c), Akta Imigresen, Penggal 17, kerana gagal mengemukakan dokumen yang sah, manakala seorang lagi dipercayai melanggar Peraturan 15(2), Peraturan Imigresen, Penggal 17 kerana tidak bekerja dengan majikan asal.

Sementara itu, Operasi Kakas 78/2026 di Mukim Belait membawa kepada penahanan seorang warganegara asing yang dipercayai melakukan kesalahan di bawah Bab 15(1), Akta Imigresen, Penggal 17, iaitu tinggal lebih masa di negara ini selepas pas imigresennya mansuh.

JIPK turut memaklumkan bahawa seorang lelaki warganegara Republik Rakyat Bangladesh, Habibur Rahman, 41 tahun, telah dijatuhkan hukuman penjara selama 12 bulan serta tiga kali sebatan selepas mengaku bersalah atas kesalahan di bawah Bab 15(1), Akta Imigresen, Penggal 17, iaitu tinggal lebih masa di negara ini setelah pas imigresennya mansuh.

Hukuman tersebut mula berkuat kuasa pada 12 Mei 2026.