Oleh : Muhammad Khairulanwar Ali Rahman
Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Pg. Nurhafilah Pg. Osman
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 3 Ogos. - Pada hari pertama Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, Majlis Mengangkat Sumpah bagi Ahli-Ahli MMN yang baharu (Ahli Rasmi Kerana Jawatan) telah diadakan di hadapan Yang Di-Pertua MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib.
Majlis Mengangkat Sumpah dimulakan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Sekuriti dan Undang-Undang), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu; kemudian diteruskan oleh Menteri di JPM (Tenaga, Huluan dan Hiliran), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd. Hanifah; dan seterusnya Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; dan Majlis Mengangkat Sumpah diakhiri oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos.
Seterusnya Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN berucap, lantikan Yang Berhormat ini adalah berdasarkan Perlembagaan Negara Brunei Darussalam yang menyatakan bahawa Ahli-Ahli Rasmi Kerajaan, Ahli-Ahli Rasmi Kerana Jawatan bagi MMN adalah terdiri daripada Perdana Menteri dan semua Menteri yang dilantik di bawah Perkara 43 Perlembagaan. Oleh itu, pelantikan Ahli-ahli Yang Berhormat adalah berikutan dengan pelantikan sebagai Menteri-menteri Kabinet pada hari Khamis, 17 Zulhijah 1447 bersamaan 4 Jun 2026 berdasarkan Perkara-Perkara 24 (1) dan Perkara 1 (A) (1) Perlembagaan Negara Brunei Darussalam.
“Bagi pihak MMN, saya dengan penuh sukacita merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan yakin serta percaya bahawa lantikan ini adalah satu pengiktirafan dan amanah untuk membangun serta memajukan negara kita. Saya mengucapkan selamat menjalankan amanah yang telah dipertanggungjawabkan dan selamat berkhidmat,” tambah Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN.