Oleh : Aimi Sani
Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
TUNGKU LINK, Isnin, 3 Ogos. - Seramai 260 bakal graduan Universiti Brunei Darussalam (UBD) menyertai Majlis Khatam Al-Quran dan Doa Kesyukuran yang diadakan di Masjid Universiti, UBD, sempena Majlis Konvokesyen UBD Ke-38.
Majlis berkenaan merupakan salah satu acara dalam Pesta Konvo 2026, iaitu sambutan tahunan yang menghargai pencapaian bakal graduan melalui pelbagai aktiviti berunsurkan keilmuan dan kerohanian.
Majlis dimulakan dengan ketibaan tetamu kehormat, Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal yang turut memimpin bacaan Surah Al-Fatihah sebagai pembuka majlis.
Hadir sama ialah Naib Canselor UBD, Dr. Hazri bin Haji Kifle, warga universiti, para graduan dan tetamu jemputan.
Acara diteruskan dengan bacaan Surah Ad-Dhuha hingga Surah Al-Masad oleh para peserta, diikuti bacaan Takhtim dan Doa Khatam Al-Quran. Majlis turut diserikan dengan persembahan Dikir Marhaban, sebagai lambang kegembiraan dan kesyukuran.
Majlis tahunan ini merupakan salah satu acara penting dalam sambutan konvokesyen UBD, yang mencerminkan komitmen universiti dalam menghargai kecemerlangan akademik seiring dengan penghayatan nilai-nilai kerohanian dan kesyukuran.
Di samping itu, ia turut menjadi wadah untuk para graduan, ahli keluarga mereka dan warga universiti berkumpul bersama bagi meraikan serta menghargai pencapaian para graduan.
Majlis ini merupakan sebahagian daripada pelbagai aktiviti dan program keagamaan yang dianjurkan oleh UBD sepanjang tahun, dengan salah satu program utamanya ialah Quranic Journey.
Diadakan pada setiap Jumaat sepanjang tahun akademik, Program Quranic Journey menyediakan Sesi Talaqqi yang dibimbing, latihan bacaan Al-Quran serta perbincangan tadabbur sebagai persediaan para pelajar untuk menyertai Majlis Khatam Al-Quran tahunan.