2,427 terima sumbangan kupon

26 Nov 2026 - 9:21am

Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. DauddinFoto : Hernie Suliana Haji Othman

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 25 November. - Seramai 2,427 orang iaitu merupakan sebahagian anak-anak yatim yang berdaftar di Sekretariat DANA akan menerima sumbangan kupon yang bernilai sebanyak BND70.

Anak-anak yatim yang menerima sumbangan ini adalah mereka yang tidak berdaftar dengan Sistem Kebajikan Negara (SKN) dan tidak menerima bantuan daripada agensi-agensi lain.

Nilai keseluruhan kupon yang disumbangkan kepada 2,427 orang anak yatim pada majlis ini berjumlah BND169,890.

Sehubungan itu, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) pagi tadi mengadakan Majlis Penyampaian Sumbangan dalam Bentuk Kupon untuk Pembelian Peralatan dan Keperluan Persekolahan bagi Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah untuk Anak-anak Yatim (DANA) Tahun 2027, bertempat di Dewan Serbaguna, Kompleks YSHHB, di sini. 

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu, selaku Ahli Lembaga Pemegang Amanah DANA.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Datin Seri Paduka Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, selaku Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif DANA.

Kupon-kupon tersebut diserahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang) kepada Pemangku-pemangku Penolong Pegawai Daerah.

Bagi Daerah Brunei dan Muara (DBM), kupon DANA berjumlah BND118,020 untuk seramai 1,686 orang anak yatim telah diterima oleh Pemangku Penolong Pegawai DBM, Awang Haji Md. Khairul Sirajul Fikri bin Haji Jamaluddin.

Bagi Daerah Belait pula, kupon DANA berjumlah BND16,800 untuk seramai 240 orang anak yatim telah diterima oleh Pemangku Penolong Pegawai Daerah Belait, Pengiran Kamal Ariffin bin Pengiran Md. Yassin.

Seterusnya, bagi Daerah Tutong, kupon DANA berjumlah BND27,300 untuk seramai 390 orang anak yatim telah diterima oleh Pemangku Penolong Pegawai Daerah Tutong, Awang Mohammad Adi Asnawi bin Haji Awang Adnan.

Manakala bagi Daerah Temburong, kupon DANA berjumlah BND7,770 untuk seramai 111 orang anak yatim telah diterima oleh Pemangku Penolong Pegawai Daerah Temburong, Ampuan Noorirawaty binti Ampuan Haji Razid.

Kupon-kupon tersebut seterusnya akan diserahkan kepada anak-anak yatim di seluruh negara melalui ketua-ketua kampung masing-masing.

Kupon-kupon ini sah ditukarkan atau digunakan di 23 buah syarikat yang membekalkan barang-barang tersebut telah dikenal pasti oleh DANA yang terletak di keempat-empat buah daerah, iaitu kedai-kedai yang membekalkan buku-buku latihan, buku-buku kerja, peralatan tulis, pakaian sekolah, beg dan kasut sekolah serta kedai-kedai yang membekalkan barang-barang keperluan harian kanak-kanak bagi anak yatim yang belum bersekolah.

Di samping itu juga, kupon-kupon DANA boleh digunakan di sekolah sama ada di bawah Kementerian Pendidikan, Kementerian Hal Ehwal Ugama mahupun sekolah swasta.

Daripada 23 buah syarikat tersebut juga, sebanyak 14 buah syarikat bersetuju untuk menyumbangkan 5 peratus daripada hasil jualan melalui kupon tersebut kepada DANA.

Sumbangan ini dihasratkan bagi memberi galakan dan kesedaran dalam kalangan anak yatim untuk menghargai kepentingan pendidikan dalam kehidupan mereka pada masa hadapan dan seterusnya memberi dorongan kepada mereka untuk mempertingkatkan pencapaian pendidikan mereka.

Bagi ibu dan penjaga pula, sumbangan ini dihasratkan bagi meringankan bebanan perbelanjaan yang ditanggung khususnya apabila menjelang penggal awal persekolahan anak-anak mereka. Adalah diharapkan bantuan seperti ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh anak-anak yatim dan penjaga mereka.

Turut hadir pada majlis ini ialah pegawai-pegawai kanan kerajaan, Pegawai-pegawai Kanan YSHHB dan pegawai-pegawai kanan dari DST, Syarikat Progresif Sdn. Bhd. dan Syarikat Imagine Sdn. Bhd.

DANA sangat menghargai sokongan dan derma daripada para dermawan bagi sama-sama membantu DANA dalam usahanya untuk mempertingkatkan kesejahteraan hidup anak-anak yatim di Negara Brunei Darussalam.

YSHHB ialah sekretariat bagi DANA.