Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama
BERAKAS, Khamis, 6 Ogos. - Sekolah Ugama Raja Isteri Fatimah meraikan seramai 23 murid Darjah VI terdiri daripada 11 murid lelaki dan 12 murid perempuan yang telah berjaya menamatkan bacaan 30 Juzuk Al-Quran dalam Majlis Khatam Al-Quran yang diadakan di Dewan Persidangan, Pusat Da’wah Islamiah, Berakas, petang tadi.
Hadir selaku tetamu khas majlis ialah Ketua Unit Perkembangan dan Dokumentasi, Bahagian Penyelidikan, Perancangan dan Perkembangan, Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Haji Abdul Razak bin Haji Md. Daud, yang turut memulakan majlis dengan memimpin bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai.
Acara diteruskan dengan bacaan surah-surah lazim oleh para peserta Khatam dan bacaan Takhtim, diikuti dengan Doa Khatam yang dibacakan oleh Awang Muhammad Haikal Rafie bin Haji Faizandy Perdy.
Kemudian majlis diserikan dengan persembahan Dikir dan penyampaian sijil oleh tetamu khas majlis dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Tenaga Pengajar, Awang Muhd. Abdul Hadi bin Haji Abdul Rahman.
Majlis-majlis Khatam Al-Quran yang diadakan di persekolahan agama di negara ini adalah bagi mendukung hasrat kerajaan untuk melahirkan generasi celik Al-Quran yang menjadikan pembacaan Al-Quran sebagai amalan hidup beragama, di samping sebagai usaha pihak JPI dalam sama-sama mengukuhkan syiar Islam di negara ini.