136 pelajar baharu KUPU SB ikuti Minggu Ta'aruf

31 Jul 2026 - 8:14am

Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin

Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 30 Julai. - Minggu Ta'aruf bukan sekadar minggu untuk mengenali kampus, bukan sekadar mengenali fakulti, dan bukan juga sekadar mengetahui peraturan dan sistem pengajian.

Daripada perspektif yang lebih besar, Minggu Ta'aruf ialah suatu transisi perjalanan pembentukan sahsiah diri manusia, iaitu perjalanan daripada seorang murid yang mulanya belajar daripada peringkat sekolah rendah ke peringkat menengah kepada kelahiran seorang ilmuwan yang lebih matang dan perjalanan daripada seorang pencari ilmu kepada seorang pembawa dan pengamal ilmu dan memberi manfaat kepada masyarakat sekeliling.

Perkara berkenaan dikongsikan menerusi ceramah yang disampaikan pagi tadi oleh Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Profesor Madya Dr. Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani pada Majlis Kesyukuran Minggu Ta'aruf Kali Ke-20 KUPU SB, bertempat di Dewan Tarbiah, kolej universiti berkenaan, di sini.

Menurutnya lagi, mahasiswa dan mahasiswi KUPU SB perlu terus melangkah ke hadapan dengan penuh iltizam.

Tambahnya, tekun menuntut ilmu dan menempuh alam pengajian tinggi dengan sebaik-baiknya, penuh rasa bertanggungjawab dan beretika, bukan setakat menjadi insan yang tinggi ilmunya, luas pengetahuannya tetapi tinggi akhlak dan adabnya.

Profesor Madya Dr. Abdul Nasir seterusnya menegaskan bahawa seluruh warga KUPU SB sewajarnya terus bersatu padu dalam memacu pertumbuhan dan perkembangan KUPU SB demi mencapai kecemerlangan.

Seramai 136 mahasiswa dan mahasiswi baharu Sesi Akademik 2026 / 2027 telah menyertai Minggu Ta'aruf yang menandakan bermulanya pengajian mereka di KUPU SB. 

Minggu Ta'aruf memberi penekanan kepada pemahaman yang mendalam terhadap falsafah, visi dan misi KUPU SB sekali gus menyelami matlamat penubuhan institusi berkenaan serta peranan mereka sebagai mahasiswa dan mahasiswi yang berakhlak mulia dan berdaya saing.