1,200 sertai TAIB EmpowHer Run 2026

2 Og 2026 - 7:35am

Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani

Foto : Hernie Suliana Haji Othman

JERUDONG, Sabtu, 1 Ogos. - Perbadanan TAIB dan anak-anak syarikatnya (TGOC), Insurans Islam TAIB Holdings Sendirian Berhad (IITHSB) dan Darussalam Holdings Sendirian Berhad (DHSB) malam tadi menganjurkan TAIB EmpowHer Run edisi kedua berlangsung di Jerudong Park Playground sempena Brunei Fitness Festival 2026.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya merasmikan pelepasan larian, Timbalan Menteri Kewangan, Yang Mulia Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani.

Turut hadir, para pegawai dan wakil daripada kementerian-kementerian kerajaan, badan-badan berkanun serta agensi-agensi berkaitan.

Meneruskan kejayaan edisi sulung pada 2025, TAIB Empowher Run 2026 tahun ini menghimpunkan seramai 1,200 peserta dalam satu acara yang penuh bermakna, memberi tumpuan kepada kesihatan, kesejahteraan dan penglibatan komuniti, sambil meraikan pencapaian dan sumbangan wanita.

Edisi larian kali ini turut mencatat sejarah sebagai acara larian malam yang pertama diadakan di Jerudong Park Playground, sekali gus memberikan peserta pengalaman larian yang unik di salah satu destinasi rekreasi ikonik negara.

Berlandaskan semangat Sambutan Hari Wanita Antarabangsa, TAIB EmpowHer Run 2026 terus mengangkat nilai keterangkuman, pemerkasaan dan kesaksamaan, sekali gus mengiktiraf peranan penting wanita dalam memacu perubahan positif dalam keluarga, masyarakat dan negara secara keseluruhannya.

Acara yang dibahagikan kepada tiga kategori, iaitu Kategori Larian Santai 3 kilometer (km), Kategori Larian Kompetitif 5km dan Kategori Larian Kompetitif 10km berkenaan memberi peluang kepada individu, keluarga dan pasukan korporat untuk bersama-sama mengamalkan serta menyokong gaya hidup sihat dan aktif.

Bagi Kategori Larian Kompetitif 5km, para pemenang menerima hadiah wang tunai berjumlah BND700 bagi tempat pertama, BND400 bagi tempat kedua dan BND200 bagi tempat ketiga.

Sementara itu, pemenang bagi Kategori Larian Kompetitif 10km pula menerima hadiah wang tunai sebanyak BND1,000 bagi tempat pertama, BND600 bagi tempat kedua dan BND400 bagi tempat ketiga.

Sambutan yang amat menggalakkan serta penyertaan yang memberangsangkan berkenaan mencerminkan minat berterusan orang ramai terhadap inisiatif berasaskan komuniti, selaras dengan kejayaan dan sambutan positif yang diterima sejak penganjuran TAIB EmpowHer Run pada tahun yang lalu.

Acara berkenaan turut menegaskan komitmen TGOC dalam mewujudkan platform yang menggalakkan penglibatan bermakna, hubungan sosial dan kesejahteraan diri.

Selain menggalakkan kecergasan fizikal, EmpowHer Run 2026 turut menjadi platform untuk mengiktiraf dan meraikan sumbangan wanita, sambil memupuk semangat perpaduan dan matlamat bersama dalam kalangan peserta.

Seiring dengan usaha negara merealisasikan aspirasi Wawasan Brunei 2035, inisiatif seperti EmpowHer Run terus memainkan peranan penting dalam menggalakkan gaya hidup aktif, memperkukuh perpaduan masyarakat serta memupuk ‘inclusivity’ demi kemajuan dan kesejahteraan negara.