Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Pembangunan Masyarakat
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 30 Julai. - Seramai 10 murid terdiri daripada anak-anak penerima bantuan daripada Sekolah Rendah Dato Othman, Kampung Lambak Kiri telah menerima sumbangan melalui Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) daripada Syarikat Guan Feng Development di bawah Program Projek Cahaya Hati bersempena dengan Ulang Tahun Penubuhan syarikat berkenaan Ke-20.
Majlis penyampaian sumbangan tersebut telah berlangsung di Bilik Mesyuarat At-Taufiq, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).
Penyampaian sumbangan kepada syarikat-syarikat vendor yang terlibat dalam Program Projek Cahaya Hati telah diserahkan oleh wakil Syarikat Guan Feng Development, Pegawai Pembangunan Perniagaan, Dayang Nurulnabilah Nashuha binti Tahir.
Jumlah keseluruhan sumbangan adalah sebanyak BND3,440 yang merangkumi pembiayaan yuran kelas tambahan, pengangkutan kenderaan dan jamuan.
Projek Cahaya Hati merupakan inisiatif CSR bersempena Ulang Tahun Ke-20 Syarikat Guan Feng Development, yang dijalankan melalui kerjasama strategik antara Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), KKBS dan Kementerian Pendidikan serta Syarikat Guan Feng Development.
Projek ini bertujuan membantu golongan yang kurang berkemampuan, khususnya pelajar-pelajar yang memerlukan sokongan dari segi keperluan persekolahan dan pendidikan agar mereka dapat meneruskan pembelajaran dengan lebih selesa dan teratur.
JAPEM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Pendidikan dan Syarikat Guan Feng Development atas kerjasama dan sokongan dalam menjayakan projek ini.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dan sektor swasta dalam melaksanakan tanggungjawab sosial ke arah memperkasakan golongan yang memerlukan. Jalinan kerjasama seumpama ini diharapkan akan terus diperkukuhkan demi kesejahteraan masyarakat dan pembangunan generasi masa hadapan.
Turut hadir menyaksikan Majlis Penyampaian Sumbangan berkenaan ialah Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat, Dayang Fauziah binti Haji Mohd. Salleh dan pegawai-pegawai kanan JAPEM.