Muhammad Miqdam : Melakar identiti negara dengan warna, sains dan semangat

31 Og 2026 - 11:09am

Oleh : Ak. Jefferi Pg. Durahman

Foto : Ak. Jefferi Pg. Durahman, Ihsan Muhammad Miqdam Zaini

MEMBESAR dengan melihat ibu melukis di dinding rumah setiap tahun telah menjadikannya sebagai ‘sekolah seni’ pertama bagi seorang anak tempatan yang menjadikan seni lukisan sebahagian dari kehidupannya. Muhammad Miqdam bin Zaini terus mengorak langkah dalam memperjuangkan dunia kesenian tanah air.

Kini, pada usia 32 tahun, anak muda dari Temburong ini sudah mengembara jauh menuntut ilmu seni lukisnya. Berbekalkan pendidikan dari Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam pada tahun 2010; Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah pada tahun 2012; Kolej Restu Shah Alam, Malaysia (2014) hingga Kosygina University Russia (2018), Miqdam kini komited menghasilkan karya yang bukan sahaja indah, malah membawa mesej dan memartabatkan identiti Negara Brunei Darussalam (NBD).

“Sebagai seorang anak jati negara ini, seni adalah cara bernafas, untuk berbicara dan untuk meninggalkan jejak. Perjalanan saya dalam dunia seni bermula seawal usia kecil dan ia dicetuskan oleh ibu saya sendiri yang sering melakar karya di dinding-dinding rumah setiap tahun dan dari situlah saya mula jatuh cinta dengan seni,” cerita Miqdam dalam temu bual bersama penulis ruangan Belia Berwawasan.

Tiada had dalam berkarya

Keunikan Miqdam terletak pada keberaniannya bereksperimen. Beliau tidak terikat dengan satu medium sahaja.

“Saya menggunakan segala medium untuk menciptakan karya, sama ada secara tradisi atau digital,” jelasnya.

Antara medium yang diterokai termasuk catan air, akrilik, oil painting, kraf tangan dan installations. Lebih menarik, beliau turut menggabungkan ilmu matematik dan sains ke dalam karyanya.

“Seni tidak mempunyai had, kerana itu saya tetap ingin menciptakan karya dengan sesuatu yang baharu,” tegasnya.

Bagi Miqdam, setiap karya yang dihasilkan membawa mesej tersendiri. Namun mesej utama yang ingin beliau sampaikan adalah mudah, “Terus melakukan yang terbaik selagi masih bernafas”.

Cabaran dan semangat seorang seniman

Perjalanan sebagai seniman tidak selalu mudah. Cabaran terbesar bagi Miqdam adalah untuk sentiasa menyokong diri sendiri. Tambahan pula, mendapatkan peralatan berkualiti dan kurangnya sokongan serta penghargaan masyarakat tempatan turut menjadi halangan.

Namun apabila semangatnya memudar, Miqdam mempunyai caranya tersendiri untuk kembali bangkit. Bagi Miqdam, ia akan melakukan setiap cabaran lain yang beliau ingin capai. Dari sana secara perlahan, idea, inspirasi dan juga motivasi mula kembali.

Seni untuk negara dan generasi

Sebagai belia yang berwawasan, Miqdam percaya bakat-bakat belia seni memainkan peranan penting dalam masyarakat seperti mengekalkan identiti negara sama ada melalui sebuah lakaran secara visual atau pertunjukan.

Malah, beliau melihat seni sebagai platform untuk melahirkan generasi belia seni yang baharu, yang mampu memperjuangkan taraf kesenian Brunei ke peringkat global.

Nasihat buat bakal seniman

Kepada yang ingin menjadikan seni sebagai kerjaya, Miqdam turut menasihatkan agar terus mencipta tanpa mengira waktu kerana tanpa sedar akan ada orang yang menghargai waktu awda. Seterusnya jangan bandingkan diri dengan orang lain kerana itu boleh membunuh diri sendiri secara perlahan. Justeru, berkaryalah dengan apa yang ada dengan menggunakan segala yang ada di sekeliling kita.