Oleh : Rohani Haji Abdul HamidFoto : Pg. Nur Hafilah Pg. Osman
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 19 Oktober. - Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia yang diraikan pada setiap 10 Oktober merupakan platform penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga kesihatan mental sebagai sebahagian daripada kesejahteraan hidup.
Tema sambutan pada tahun ini, ‘Pengalaman Kehidupan Didengar : Suara Yang Benar, Perubahan Yang Nyata' (Lived Experiences Heard : Real Voices, Real Change)’ menyeru masyarakat agar terus memperkukuh komitmen dalam memelihara kesihatan dan kesejahteraan mental demi membina masyarakat yang sihat, berdaya tahan dan inklusif.
Sehubungan itu, individu yang berhadapan dengan cabaran kesihatan mental perlu diberikan ruang dan peluang untuk berkongsi pengalaman serta menyuarakan pandangan mereka. Penglibatan tersebut penting bagi membantu membentuk dasar, perkhidmatan dan sistem sokongan yang lebih responsif terhadap keperluan serta realiti kehidupan mereka.
Dalam temu bual bersama Pelita Brunei, Awang Hashim bin Haji Ahmad, 45 tahun, dari Kampung Mentiri berpendapat bahawa kesihatan mental tidak seharusnya dipandang ringan kerana ia merupakan aspek penting yang mempengaruhi kehidupan setiap individu.
Menurut beliau, masyarakat perlu lebih peka terhadap kepentingan menjaga kesihatan mental dan memahami bahawa tekanan emosi yang berpanjangan boleh menjejaskan kesejahteraan diri serta rutin kehidupan seharian sekiranya tidak ditangani dengan sewajarnya.
Beliau turut menekankan pentingnya meningkatkan kesedaran masyarakat agar isu berkaitan kesihatan mental dapat dibincangkan secara terbuka, tanpa stigma atau tanggapan negatif terhadap individu yang mengalaminya.
Sementara itu, Dayang Maimunah binti Haji Kamis dari Kampung Lambak pula menekankan kepentingan menjaga kestabilan emosi, khususnya ketika berada di tempat kerja, bagi mengelakkan tekanan yang boleh menjejaskan kesejahteraan mental.
Menurut beliau, setiap individu perlu bijak mengurus tekanan dengan mengimbangi tuntutan pekerjaan dan kehidupan peribadi, di samping meluangkan masa untuk berehat serta melakukan aktiviti yang dapat menenangkan fikiran.
Beliau turut menyarankan agar individu tidak teragak-agak mendapatkan sokongan daripada ahli keluarga, rakan atau individu yang dipercayai apabila berhadapan dengan tekanan emosi.
“Kesedaran, sokongan dan sikap saling memahami merupakan antara langkah penting dalam memelihara kesihatan mental. Justeru, masyarakat diseru agar lebih prihatin terhadap kesejahteraan diri dan orang di sekeliling, selain mewujudkan persekitaran yang terbuka, selamat dan menyokong bagi memastikan setiap individu berasa didengari, dihargai dan tidak bersendirian dalam menghadapi cabaran kehidupan,” jelas beliau.