Bengkel tingkatkan kefahaman pengendalian sistem hidroponik

20 Okt 2026 - 6:22am

Siaran Akhbar dan Foto : Universiti Islam Sultan Sharif Ali

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 19 Oktober. - Pejabat Pembangunan Kerjaya dan Jaringan Industri (OCeAN), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dengan kerjasama Perusahaan Zaias telah menganjurkan Program AgriFuture 2026 : Bengkel Pengenalan Pertanian Moden yang berlangsung di Perusahaan Zaias, Kawasan Kemajuan Pertanian Betumpu, Kampung Masin.

Bengkel sehari tersebut disertai oleh 25 mahasiswa / mahasiswi dan alumni UNISSA untuk menimba pengetahuan dan pengalaman dalam bidang pertanian moden, khususnya sistem hidroponik sebagai salah satu kaedah pertanian yang semakin berkembang dan berpotensi untuk diterokai.

Bengkel tersebut dikendalikan oleh Pengurus Perusahaan Zaias, Awang Mohamad Akmal Asmaan bin Haji Asmali. Sepanjang bengkel, para peserta mengikuti taklimat mengenai hidroponik yang merangkumi pengenalan kepada sistem hidroponik, jenis-jenis sistem hidroponik dan aplikasinya, pemilihan sistem yang sesuai, pencampuran baja serta teknik tuaian dan selepas tuaian.

Selain sesi penerangan, para peserta turut mengikuti sesi praktikal secara hands-on yang merangkumi aktiviti menyemai, menanam, penyediaan larutan nutrien, penuaian dan selepastuaian.

Aktiviti tersebut memberikan pengalaman pembelajaran secara langsung serta meningkatkan kefahaman peserta mengenai pengendalian sistem hidroponik.

Para peserta juga berpeluang menyertai lawatan ke rumah hijau dan kemudahan hidroponik bagi melihat sendiri pelaksanaan sistem tersebut dalam persekitaran sebenar serta memperoleh pendedahan yang lebih menyeluruh mengenai amalan pertanian berasaskan hidroponik.

Penganjuran program ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran dan minat pelajar serta alumni UNISSA terhadap bidang pertanian moden, di samping menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 2, SDG 4, SDG 8, serta SDG 17.