Siaran Akhbar : Kementerian Hal Ehwal Ugama
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 19 Oktober. - Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Jabatan Urusan Haji (JUH) ingin memaklumkan kepada bakal jemaah haji bagi Musim Haji Tahun 1448 Hijrah / 2027 Masihi bahawa pembayaran Pakej Haji bagi Musim Haji Tahun 1448H / 2027M bermula pada hari ini, Isnin, 8 Jamadilawal 1448H bersamaan 19 Oktober 2026M dan berakhir pada Sabtu, 27 Jamadilawal 1448H bersamaan 7 November 2026M.
Sehubungan itu, bakal jemaah haji yang telah disahkan sihat (fit) untuk menunaikan ibadat haji oleh Kementerian Kesihatan dan menerima surat pengesahan untuk menunaikan ibadat haji bagi Tahun 1448H / 2027M dari JUH adalah dikehendaki untuk membuat pembayaran penuh harga pakej haji kepada syarikat pengendali perkhidmatan Pakej Haji yang dipilih pada waktu yang telah ditetapkan tersebut bagi memastikan semua urusan haji berjalan dengan lancar dan teratur.
Bakal jemaah haji bagi Musim Haji Tahun 1448H / 2027M bolehlah berhubung terus dengan syarikat pengendali perkhidmatan Pakej Haji yang dipilih untuk sebarang maklumat lanjut mengenai Pakej Haji yang ditawarkan dan proses pembayaran pakej haji.
Sebarang pertanyaan lanjut bolehlah berhubung terus ke JUH, KHEU melalui talian +673 2384478 atau e-mel ‘juh.kheu@mora.gov.bn’.