MENJAGA adab dan tatasusila adalah satu perkara yang semakin hari semakin kurang diambil peduli. Ini kerana percampuran budaya, percampuran cara kehidupan dan kurang penekanan dalam kehidupan seharian. Zaman sekarang mengalami beberapa perkara seperti kemeruapan, ketidakpastian, kerumitan dan kesamaran yang sedang kita alami hari ini memberikan tekanan dan cabaran kepada semua pihak dalam pelbagai peringkat umur. Dalam zaman yang serba cepat, tidak menentu dan tidak mempunyai kepastian ini menuntut perlakuan yang bijaksana dalam segala hal terutamanya dalam membentuk dan mendidik anak-anak agar mereka mampu menghadapi cabaran hidup yang semakin hebat.
Keperluan untuk menjaga adab dan tatasusila menjadi semakin kritikal. Adab dan tatasusila bukan sekadar norma masyarakat yang harus dipraktikkan, namun ia membentuk asas dalam membina masyarakat yang stabil, sejahtera dan berdaya tahan. Dalam konteks ini, ibu bapa harus mengambil langkah yang proaktif bagi melaksanakan langkah penguatkuasaan adab dan akhlak dengan menanam nilai-nilai murni dalam diri anak-anak mereka.
Amalan tatasusila yang baik dapat mengelakkan anak-anak terpengaruh dengan perkara-perkara negatif. Mereka juga akan belajar untuk menjadi individu yang sabar dan tabah dalam menghadapi ketidakpastian. Selain itu, antara aspek penting yang perlu disuburkan dalam jiwa generasi kini adalah penghargaan terhadap orang lain. Anak-anak muda harus belajar untuk menghormati pendapat dan perasaan orang lain walaupun berbeza pendapat. Ketandusan nilai penghargaan kepada orang lain telah menyebabkan ramai individu kini menghadapi gangguan keperibadian narsistik (NPD).
Budaya Brunei yang mesti dipertahankan ialah berawar galat. Berawar galat sesama masyarakat dan persekitaran. InsyaaAllah, pada 29 Julai, 1 Ogos dan 4 Ogos 2026, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan berangkat bercemar duli bersama rakyat baginda di Daerah Brunei dan Muara, Daerah Belait dan Daerah Temburong. Sama-samalah kita menjaga adab dan tatasusila Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Ini masanya untuk kita menjadi contoh terbaik sebagai warga brunei yang sentiasa mempertahankan budaya dan sikap berawar galat. Cerminan hari ini adalah untuk masa hadapan. Sekian Sidang Pengarang buat keluaran kali ini. - Ketua Penyuntingan (Fa)