Siaran Akhbar : Brunei Darussalam Central Bank
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 17 September. - Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) telah mengeluarkan notis mengenai layanan adil terhadap Pengguna Kewangan (Notice No. CE/N-1/2026/1) pada 31 Ogos 2026. Notis ini akan berkuat kuasa pada 1 Mac 2027.
Notis ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan BDCB untuk memperkukuh perlindungan pengguna kewangan serta menggalakkan piawaian tingkah laku yang lebih tinggi dalam sektor kewangan.
Ia juga menetapkan keperluan bagi bank dan institusi kewangan untuk memberikan layanan yang adil, bertanggungjawab dan profesional kepada pengguna kewangan dalam setiap urusan mereka.
Antara lainnya, bank dan institusi kewangan diperlukan untuk mengambil kira sebarang risiko amalan pasaran dalam urus tadbir dan pengurusan risiko secara keseluruhan; memberikan maklumat yang jelas dan seimbang; memastikan sebarang nasihat dan cadangan yang diberikan bersesuaian dengan keperluan pengguna kewangan; dan mengekalkan terma dan syarat kontrak yang adil.
Notis tersebut juga memberi penekanan khusus terhadap layanan yang adil kepada pengguna kewangan yang terjejas (vulnerable financial consumers). Bank dan institusi kewangan dikehendaki untuk mengambil langkah-langkah bersesuaian untuk memahami dan menangani keperluan mereka, termasuk dalam penyediaan reka bentuk dan penawaran produk dan perkhidmatan kewangan.
Melalui keperluan-keperluan di dalam notis tersebut, BDCB berhasrat untuk menggalakkan hasil dan layanan yang lebih adil bagi pengguna kewangan, di samping memperkukuh kepercayaan dan keyakinan terhadap sistem kewangan Negara Brunei Darussalam dan seterusnya menyumbang kepada kestabilan kewangan domestik secara keseluruhan.
Notis tersebut boleh didapati melalui laman sesawang BDCB di www.bdcb.gov.bn. Sebarang pertanyaan boleh diajukan melalui talian +673 8318388 atau e-mel info@bdcb.gov.bn.