UNISSA terus melakar kecemerlangan di peringkat antarabangsa, serantau

7 Nov 2026 - 5:24am

Siaran Akhbar dan Foto : Universiti Islam Sultan Sharif Ali

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 6 November. - Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) terus melakar kecemerlangan di peringkat antarabangsa dan serantau dengan meraih tiga pengiktirafan sejak September 2026.

Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam, UNISSA telah dianugerahkan GIFA Market Leadership Award (Education in Islamic Banking & Finance) 2026 di London, United Kingdom (UK).

UNISSA juga dinobatkan sebagai penerima anugerah kategori Leading Educational Institutions in Asia di Anugerah Asia Corporate Excellence & Sustainability (ACES) 2026 dan buat julung kalinya tersenarai dalam AppliedEdu University Rankings 2027 – ASEAN – Public Universities dengan menduduki tangga ke-86 daripada 161 universiti awam di rantau ASEAN.

Ketiga-tiga pencapaian ini meletakkan nama UNISSA dan Negara Brunei Darussalam (NBD) dalam kalangan institusi pendidikan tinggi terkemuka di peringkat serantau dan global, sekali gus mencerminkan komitmen universiti terhadap kepimpinan, kualiti akademik dan kelestarian.

Penganugerahan tersebut berlangsung semasa Global Islamic Finance Awards Ke-16 (GIFA) 2026 yang berlangsung di Sheraton Grand London Park Lane, London, UK pada 8 September 2026.

Anugerah berprestij ini mengiktiraf komitmen UNISSA terhadap kecemerlangan akademik dalam bidang perbankan dan kewangan Islam, khususnya dalam memperkukuh kualiti akademik, penyelidikan, inovasi serta pembangunan pemimpin masa hadapan.

Pencapaian ini merupakan satu pencapaian penting bagi UNISSA dalam memperkukuh kedudukan di peringkat antarabangsa serta sumbangan kepada industri kewangan Islam global.

Majlis Anugerah GIFA diadakan setiap tahun bagi mengetengahkan, menggalakkan dan memberi penghargaan kepada prestasi dan sumbangan cemerlang terhadap pertumbuhan komuniti perbankan dan kewangan Islam global, dengan matlamat utama memupuk tanggungjawab sosial, pematuhan syariah dan komitmen terhadap perbankan dan kewangan Islam.

Pengumuman anugerah ACES telah dibuat semasa Majlis Anugerah ACES 2026 yang berlangsung pada 15 dan 16 Oktober 2026 di Kuala Lumpur, Malaysia. UNISSA merupakan salah satu daripada dua buah institusi pendidikan yang menerima pengiktirafan dalam kategori tersebut pada tahun ini, bersama-sama Universidad de Zamboanga dari Filipina.

Anugerah ACES yang ditubuhkan pada tahun 2014 kini memasuki edisi ke-13, dan memberi pengiktirafan kepada pemimpin dan organisasi di seluruh Asia yang menunjukkan kecemerlangan dalam kepimpinan, prestasi organisasi dan kelestarian. Edisi tahun ini membawakan tema ‘Beyond Business’, yang menekankan kepimpinan yang bertanggungjawab sebagai amalan kebiasaan dalam setiap organisasi.

Penilaian dijalankan oleh Majlis ACES melalui proses berperingkat, iaitu penyaringan awal, audit dan temu duga, sebelum keputusan muktamad dibuat. Penilaian tersebut berpandukan kerangka ACES LEAD™ yang merangkumi empat tonggak utama: Kepimpinan dan Wawasan; Perusahaan dan Prestasi; Akauntabiliti dan Etika serta Pembangunan dan Impak Sosial.

Menurut kenyataan rasmi ACES Awards Council, UNISSA diiktiraf atas peranannya dalam memajukan pendidikan tinggi Islam melalui pendekatan yang mengintegrasikan nilai-nilai Islam, inovasi dan kemampanan.

Usaha universiti dalam memperkukuh tadbir urus, membangunkan kurikulum yang relevan serta memperluas kerjasama strategik turut diketengahkan. Dokumen rasmi ACES Awards 2026 juga menonjolkan pencapaian penarafan lima bintang QS Stars serta kedudukan UNISSA di tempat ke-147 dunia dalam World University Rankings for Innovation (WURI) 2026.

Dalam AppliedEdu University Rankings 2027 – ASEAN – Public Universities, kedudukan ke-86 daripada 161 universiti meletakkan UNISSA dalam kelompok 54 peratus teratas universiti awam yang disenaraikan.

Edisi keempat penarafan serantau ini menilai universiti berdasarkan enam kriteria utama, iaitu Pengajaran dan Pembelajaran, Penyelidikan, Kebolehkerjaan Graduan, Reputasi Institusi, Penglibatan Komuniti dan Pengantarabangsaan.

Menurut laporan yang dikeluarkan, antara kekuatan UNISSA yang paling terserlah ialah pengantarabangsaan, dengan kedudukan ke-17 daripada 161 universiti, termasuk tempat ke-16 bagi kriteria nisbah pelajar antarabangsa. UNISSA turut menduduki tangga ke-32 dalam aspek pengajaran dan pembelajaran dan tangga ke-57 dalam bidang penyelidikan.

UNISSA juga meraih kedudukan tertinggi dalam kalangan universiti tempatan bagi kriteria Kebolehkerjaan Graduan. Kejayaan ini selari dengan penekanan universiti terhadap sokongan kerjaya, latihan industri dan jaringan kerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan, bagi melahirkan graduan yang berilmu, berpegang teguh pada nilai-nilai Islam serta berdaya saing dalam pasaran pekerjaan.

Ketiga-tiga pengiktirafan ini diharapkan menjadi pemangkin kepada warga UNISSA untuk terus meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran, memperkukuh kecemerlangan penyelidikan serta memperluas jaringan kerjasama di peringkat serantau dan antarabangsa. Dapatan penarafan ini juga menjadi penanda aras penting dalam mengenal pasti ruang penambahbaikan dan memacu usaha berterusan ke arah memperkukuh kedudukan UNISSA dalam landskap pendidikan tinggi serantau dan global.

Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan UNISSA dalam memperkasakan pendidikan, penyelidikan dan khidmat masyarakat berteraskan nilai-nilai Islam, bagi merealisasikan visi dan misi universiti serta melahirkan generasi khayra ummah, selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035.