Siaran Akhbar dan Foto : Bank Baiduri
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 6 November. - Dalam persediaan menghadapi penyusunan semula tarif elektrik bagi sektor komersial (Tarif B) yang dijadualkan berkuat kuasa pada April 2028, Bank Baiduri telah menghimpunkan para pemilik perniagaan dan pakar industri menerusi satu bengkel yang bertujuan untuk meneroka potensi penggunaan tenaga solar dalam mengurus kos elektrik serta meningkatkan kecekapan operasi jangka panjang.
Pelarasan Tarif ‘B’ berkenaan bertujuan untuk menyokong struktur tarif elektrik yang lebih mampan, di samping menggalakkan para pengusaha perniagaan menggunakan tenaga elektrik dengan lebih cekap, mengurus penggunaan elektrik dengan lebih baik serta mengurangkan pembaziran tenaga yang tidak diperlukan.
Pelarasan berkenaan juga dijangka dapat menggalakkan penggunaan penyelesaian tenaga boleh diperbaharui yang lebih meluas, termasuk sistem solar ‘photovoltaic’ (PV) dan Program Pemeteran Bersih (Net Metering Programme) Negara Brunei Darussalam (NBD).
Program berkenaan membolehkan pengguna solar yang memenuhi syarat menyalurkan lebihan tenaga elektrik ke grid nasional sebagai pertukaran bagi kredit tenaga.
Bagi membantu para pengusaha menilai peluang berkenaan, bengkel berkenaan memberi pendedahan praktikal mengenai pelaburan tenaga solar, termasuk keperluan pemasangan, potensi penjimatan kos elektrik, anggaran tempoh pulangan modal, inisiatif kerajaan yang tersedia serta perkara-perkara utama yang perlu dipertimbangkan oleh perniagaan yang berhasrat meneroka penggunaan tenaga boleh diperbaharui.
Bengkel yang berlangsung di Baiduri Enterprise Hub berkenaan dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Tenaga, Huluan dan Hiliran di Jabatan Perdana Menteri (JPM) serta Solara X, dan disertai oleh wakil daripada 11 buah syarikat yang terdiri daripada pelbagai sektor, termasuk pembangunan hartanah dan perdagangan borong.
Memandangkan kebanyakan syarikat berkenaan mengendalikan gudang dan premis komersial, sesi tersebut memberi peluang kepada para peserta untuk memahami dengan lebih mendalam bagaimana penggunaan tenaga solar dapat disesuaikan dengan operasi perniagaan masing-masing serta menilai sama ada manfaat jangka panjang yang berpotensi diperoleh setimpal dengan pelaburan awal yang diperlukan.
Para peserta turut mendengarkan perkongsian daripada Dayang Siti Sarah binti Awang Haji Yusop dari Jabatan Tenaga, Huluan dan Hiliran yang memberi penerangan mengenai Program Pemeteran Bersih serta inisiatif lebih luas dalam menyokong penggunaan tenaga boleh diperbaharui di negara ini.
Melengkapkan perkongsian berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif Solara X, Ian Ong, membentangkan beberapa kajian kes perniagaan tempatan serta pandangan praktikal mengenai pelaksanaan penyelesaian tenaga solar.
Beliau turut berkongsi contoh bagaimana para pengusaha boleh menilai peluang yang tersedia serta kesesuaiannya mengikut keperluan operasi masing-masing.
Sementara itu, Ketua Kelestarian Bank Baiduri, Abigail Leong, berkata bahawa apabila para pengusaha mempertimbangkan penggunaan tenaga solar, persoalan utama yang sering timbul ialah kesesuaiannya dengan perniagaan masing-masing, kos yang diperlukan serta jumlah penjimatan yang berpotensi diperoleh.
Menurutnya, bengkel berkenaan bertujuan membantu para pengusaha mendapatkan jawapan kepada persoalan tersebut menerusi perkongsian praktikal, pandangan pakar serta pemahaman yang lebih jelas mengenai pilihan yang tersedia dalam menghadapi perubahan persekitaran operasi perniagaan.
Bengkel berkenaan turut mengetengahkan peranan institusi kewangan dalam membantu para pengusaha meneroka peluang pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui. Sehubungan itu, Bank Baiduri terus komited untuk bekerjasama rapat dengan para pelanggannya bagi memahami keperluan pembiayaan mereka serta meneroka penyelesaian bersesuaian yang dapat membantu menampung keperluan pelaburan awal.
Selain potensi manfaat kewangan, inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen lebih luas pihak bank dalam menyokong para pengusaha membangunkan operasi perniagaan yang lebih mampan dan berdaya tahan.
Inisiatif berkenaan juga selaras dengan usaha negara di bawah Dasar Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam (Brunei Darussalam National Climate Change Policy - BNCCP), khususnya Strategi 4 yang menetapkan sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus tenaga boleh diperbaharui dalam keseluruhan campuran kapasiti penjanaan tenaga elektrik negara menjelang 2035.
Selain itu, inisiatif tersebut juga merupakan sebahagian daripada Baiduri Greenprint, iaitu rangka kerja alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) bank berkenaan.
Di bawah teras Planet, pihak bank berhasrat menyokong pelaksanaan penyelesaian praktikal yang menyumbang ke arah masa depan yang lebih mampan dan berdaya tahan bagi sektor perniagaan serta masyarakat.
Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif kelestarian Bank Baiduri, orang ramai boleh melayari laman sesawang ‘www.baiduri.com’ atau merujuk Laporan Kelestarian terkini bank berkenaan.