SpAR v4.0 perkasa budaya penyelidikan, kejurulatihan sukan

18 Sep 2026 - 7:32am

Oleh : Khartini Hamir

Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said

BERAKAS, Khamis, 17 September. - Sekolah Sukan pagi tadi mengadakan Majlis Pelancaran Pembentangan Kajian Tindakan Sukan v4.0 (Sports Action Research Presentation - SpAR v4.0) Tahun 2026, bertempat di Sekolah Sukan, Kampung Pulaie, Jalan Kebangsaan, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Penolong Pengarah, Jabatan Pengurusan Pendidik dan Ketua Unit Tenaga Pengajar, Akademi Kepimpinan dan Guru Brunei Darussalam (BDLTA), Kementerian Pendidikan, Dr. Roslena binti Pehin Dato Seri Laila Jasa Haji Johari.

Turut hadir ialah pegawai-pegawai kerajaan dari Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, serta wakil-wakil persatuan dan persekutuan sukan.

Atur cara majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Pegawai Pendidikan di Sekolah Sukan, Awang Muhd. Hadi Hamizan bin Abd. Rahman, sebelum diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengetua Sekolah Sukan, Alexandar bin Bandang.

Acara kemudiannya diserikan dengan dengan tayangan video pengenalan mengenai SpAR v4.0. Majlis diselajurkan dengan penyerahan insentif kepada atlet-atlet Sekolah Sukan yang berjaya meraih pingat dalam beberapa kejohanan di peringkat serantau dan antarabangsa, iaitu Badminton Asia SEA Regional Championship di Kemboja, RS Athletic Championship di Sabah, serta North Borneo Karate do Championship 2026 di Kota Kinabalu, Sabah.

Penyerahan insentif tersebut merupakan sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan atas pencapaian cemerlang para atlet Sekolah Sukan yang telah mengharumkan nama sekolah melalui kejayaan mereka dalam kejohanan-kejohanan berkenaan.

Acara diteruskan dengan sesi SpAR v4.0 oleh jurulatih-jurulatih, guru-guru serta penyampai jemputan yang berlangsung di ruang Atrium sekolah berkenaan.

Juga diadakan penyampaian sijil penghargaan kepada para penerima dan diakhiri dengan sesi bergambar ramai.

Pelaksanaan SpAR v4.0 bertujuan untuk membarigakan dan mengetengahkan hasil-hasil kajian tindakan sukan yang telah dilaksanakan oleh jurulatih-jurulatih Sekolah Sukan, guru-guru serta para peserta yang terlibat.

Inisiatif ini juga dihasratkan untuk meningkatkan mutu dan keberkesanan amalan kejurulatihan melalui pendekatan berasaskan bukti, di samping menggalakkan perkongsian ilmu, pengalaman dan amalan terbaik dalam bidang sukan. Program ini seterusnya diharapkan dapat menyumbang kepada pembangunan profesional jurulatih sukan yang berterusan, memperkukuh budaya penyelidikan dalam bidang kejurulatihan dan pembangunan atlet, serta menyokong usaha meningkatkan kualiti pembangunan sukan di Negara Brunei Darussalam pada masa akan datang.