Oleh : Nooratini Haji Abas
Foto : Hernie Suliana Haji Othman
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 3 Ogos. - Dalam usaha mendukung Wawasan Brunei 2035 ke arah melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya, Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) terus memperkukuh lagi pelbagai inisiatif berstrategik bagi membudayakan kecemerlangan akademik serta melahirkan pelajar yang berilmu, cemerlang dan berdaya saing.
Sejajar dengan hasrat tersebut, Sekolah Arab Raja Isteri Pengiran Anak Damit (SARIPAD) pagi tadi mengungkayahkan Program Ilal Majdi Wal 'Ula (Ke Arah Ketinggian dan Kemuliaan) bertemakan 'Muraja'ah Digital: Mengukuhkan Ilmu Menuju Kejayaan' bertempat di dewan utama sekolah berkenaan.
Ini adalah sebagai inisiatif untuk mempertingkatkan persediaan pelajar menghadapi peperiksaan awam Penilaian Sekolah Rendah (PSR) serta peperiksaan dalaman.
Hadir selaku tetamu khas majlis ialah Ketua Bahagian Pembangunan Sumber Tenaga Manusia dan Biasiswa, JPI, KHEU, Dayang Hajah Rusidah binti Haji Talip.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa, diikuti ucapan alu-aluan oleh Guru Besar SARIPAD, Pengiran Hasinol Zamri bin Pengiran Haji Piut.
Majlis kemudian diteruskan dengan Pertandingan Kuiz 'Muraja'ah Quest: Digital Quiz Challenge' sebelum diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang yang disempurnakan oleh tetamu khas majlis.
Program Ilal Majdi Wal 'Ula tersebut merupakan antara inisiatif Bahagian Sekolah Arab, JPI yang dilaksanakan secara bergilir di sekolah-sekolah Arab sebagai platform memperkukuh persediaan akademik pelajar melalui pendekatan pembelajaran yang kolaboratif, interaktif dan inovatif, di samping meningkatkan motivasi dan keyakinan diri dalam kalangan pelajar.