Kebawah DYMM berangkat tiba di Manila, Republik Filipina

15 Nov 2026 - 6:08am

Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri

Foto : Muhammad Asri Awang Haji Abas, Azmah Haji Ahad

MANILA, REPUBLIK FILIPINA, Sabtu, 14 November. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berangkat tiba di Manila, Republik Filipina bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49 serta Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan yang akan berlangsung pada 15 hingga 17 November 2026.

Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino, Manila, Republik Filipina, dijunjung oleh Secretary of Transportation, The Honourable Vivencio “Vince” Bringas Dizon dan pegawai-pegawai kanan Republik Filipina.

Juga hadir bagi menjunjung keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Filipina, Puan Yang Terutama Megawati binti Dato Paduka Haji Manan.