Wanita tonggak penerapan nilai MIB dalam pembentukan generasi berilmu, berakhlak

15 Nov 2026 - 5:39am

Oleh : Aimi Sani

Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Mohammad Hasif Matzin

BERAKAS, Sabtu, 14 November. - Tema Majlis Ilmu 2026 'Melayu Islam Beraja : Tonggak Kedaulatan Negara', ini sangat signifikan dalam membuktikan falsafah yang telah dipegang sejak pemasyhuran kemerdekaan Negara Brunei Darussalam (NBD) dan tetap relevan dalam mempertahankan identiti dan jati diri bangsa serta memelihara keamanan dan kedaulatan negara yang kita cintai.

Tema ini juga mencerminkan ketahanan dan keluhuran negara di bawah pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, yang sentiasa prihatin terhadap kesejahteraan rakyat dan keamanan negara terutama sekali dalam memelihara dan mempertahankan budaya dan identiti negara.

Perkara berkenaan dikongsikan oleh Peguam Negara, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Dayang Hajah Nor Hashimah binti Haji Mohammed Taib dalam sembah alu-aluannya pada Ceramah Perdana Majlis Ilmu Tahun 2026 sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 Tahun, yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

Sembah Yang Berhormat lagi, kaum wanita sama ada sebagai ibu, isteri, anak, sebagai penasihat, pendidik, pemimpin, penjawat awam, mahupun usahawan dan anggota masyarakat, tidak terkecuali mempunyai peranan yang penting dalam menjadi tonggak kepada pembangunan serta kemajuan NBD.

Sesungguhnya, sembah Yang Berhormat, keterlibatan wanita dalam pembangunan masyarakat bukanlah sesuatu yang baharu. Sejarah Islam telah merakam kemas sumbangan besar para sahabat wanita Radiallahu 'Anhunna pada zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam pelbagai bidang.

Sayyidatina Khadijah Radhiallahu 'Anha, misalnya sembah Yang Berhormat lagi, merupakan seorang ahli korporat yang berjaya dan menjadi pendukung kuat perjuangan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

“Sayyidatina Aisyah Radhiallahu 'Anha pula terkenal dengan keluasan ilmu dan sumbangannya dalam penyebaran hadis.

“Begitu juga Ummu Salamah Radhiallahu 'Anha yang memperlihatkan kebijaksanaan dalam memberikan pandangan dan nasihat kepada baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam,” sembah Yang Berhormat.

Yang Berhormat dalam sembah alu-aluannya turut menggariskan antara objektif utama pengisian ceramah tersebut, iaitu memperkasa kefahaman mengenai nilai MIB sebagai teras pembentukan jati diri; meneguhkan kesedaran tentang peranan penting kaum wanita dalam menghayati, mengamalkan dan mewariskan nilai-nilai MIB berlandaskan ajaran Islam kepada keluarga, masyarakat dan generasi akan datang; dan menginspirasikan wanita untuk terus menjadi contoh teladan dalam melahirkan generasi beriman, berilmu dan berakhlak mulia.

Yang Berhormat dalam sembah juga menzahirkan harapan agar Ceramah Perdana yang akan disampaikan akan mencapai objektifnya, iaitu pertama, menghasilkan keyakinan bahawa wanita mempunyai peranan yang penting dalam menyerapkan nilai MIB bagi pembentukan generasi yang berilmu dan berakhlak.

“Kedua, usaha berterusan kaum wanita dalam mengekalkan nilai MIB dalam kehidupan seharian.

“Ketiga, kesediaan dalam meneroka pelbagai metodologi terkini dan semasa dalam memelihara, menghayati dan mengekalkan MIB sebagai tonggak kedaulatan negara,” sembah Yang Berhormat lagi.

Terdahulu sebelum itu, Yang Berhormat turut merafakkan sembah setinggi-tinggi menjunjung kasih atas limpah kurnia perkenan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman berkenan berangkat ke Majlis Ceramah Perdana pada hari ini.

Sesungguhnya sembah Yang Berhormat lagi, keberangkatan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah amat bermakna dan mencerminkan sokongan padu Yang Teramat Mulia dalam menyemarakkan budaya ilmu dalam kalangan masyarakat serta keprihatinan YTM terhadap majlis ilmiah ini.