Oleh : Nooratini Haji Abas
Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor/ Morshidi, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Mohammad Hasif Matzin, Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
TUNGKU LINK, Khamis, 22 Oktober. – Pemerkasaan teknologi digital dan Kecerdasan Buatan (AI) dalam pendidikan Islam hendaklah diadun secara bijaksana dengan penguasaan ilmu Turath dan kontemporari sebagai suatu ikhtiar strategik untuk memperkukuhkan lagi penyampaian ilmu, tanpa menjejaskan prinsip syariat dan adab keilmuan.
Pendekatan sedemikian adalah penting bagi membina ketahanan di kalangan generasi pendidik supaya terus mampu mendepani pengaruh pemikiran dan ideologi yang bercanggah dengan ajaran Islam sebenar.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menekankan perkara berkenaan pada Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) Ke-16 Tahun 1448 Hijrah/ 2026 Masihi di Dewan Canselor Universiti Brunei Darusaalam (UBD), pagi tadi, di sini.
Dalam titah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Padukа Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam seterusnya mengambil maklum dan menyambut baik komitmen KUPU SB dalam memperkukuh kurikulum yang holistik yang selaras dengan keperluan semasa.
Usaha ini titah baginda lagi, bukan sahaja berupaya meningkatkan kebolehpasaran graduan, bahkan juga turut memperkasa mereka sebagai mampu untuk memberikan sumbangan yang bermakna kepada institusi, masyarakat dan negara melalui penguasaan ilmu.
Sehubungan itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam titah juga menegaskan, KUPU SB perlu terus membangunkan ekosistem pendidikan yang komprehensif melalui jalinan kolaborasi strategik dengan para rakan, di samping memastikan program-program yang ditawarkan kekal relevan dengan perkembangan semasa.
Menurut titah baginda, langkah ini juga wajar diperkukuh melalui pelaksanaan Program Pembangunan Profesional Berterusan (Continuous Professional Development-CPD) bagi meningkatkan lagi keupayaan рara alumni KUPU SB agar sentiasa selaras dengan perubahan dan keperluan semasa, sekali gus mendukung pendidikan dan pembentukan modal insan yang unggul dan berdaya saing.
“Dalam hal ini, beta menyambut baik inisiatif KUPU SB dalam memperluas program ‘upskilling’ dan ‘reskilling’ melalui penubuhan Pusat Latihan dan Peningkatan Kompetensi KUPU SB. Kewujudan pusat ini diharapkan akan dapat menyemarakkan lagi budaya pembelajaran sepanjang hayat, di samping memperkaya pengetahuan dan meningkatkan keupayaan para graduan serta alumni.
“Lebih penting lagi, inisiatif tersebut berupaya untuk melahirkan sumber manusia yang berpegang teguh kepada prinsip syarak, memiliki keupayaan yang relevan dengan keperluan semasa, berdaya saing dalam pasaran pekerjaan serta memperoleh pengiktirafan melalui pensijilan kemahiran yang diiktiraf,” titah baginda lagi.
Terdahulu dalam titah, Kebawah DYMM menekankan, perkembangan AI menjadi teknologi yang paling digemari pada abad ini, yang membawa perubahan besar kepada landskap pendidikan dan kehidupan masyarakat.
Dalam hubungan ini titah baginda, KUPU SB sebagai institusi peneraju perguruan ugama hendaklah tidak hanya menjadi pengguna teknologi, tetapi juga berupaya untuk menjadi pemimpin pendekatan pedagogi dan etika penggunaan AI yang berpandukan prinsip syarak, nilai Islam dan adab keilmuan yang berteraskan Al-Quran dan As-Sunnah.
Kebawah DYMM juga mengambil maklum akan kesungguhan KUPU SB dalam mempertahankan dan mengembangkan pengajian kitab Turath dan tulisan Jawi dalam pembinaan kurikulumnya pada semua peringkat pengajian.
“Beta melihat usaha ini amat penting bagi memastikan kemajuan pendidikan dan teknologi terus berpaksikan khazanah ilmu Islam, di samping memelihara jati diri, tradisi keilmuan dan kesinambungan warisan pendidikan ugama,” titah baginda lagi.
Terdahulu dalam titah, Kebawah DYMM turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada para graduan atas kejayaan mereka menamatkan pengajian masing-masing. Penghargaan juga baginda tujukan kepada para tenaga akademik, ibu bapa, penjaga dan ahli keluarga yang telah mencurahkan segala usaha membimbing, mendorong dan memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi sehingga para graduan berjaya mencapai kejayaan yang membanggakan.
Oleh yang demikian, Kebawah DYMM bertitah berharaр kejayaan yang diraih ini tidak hanya dilihat sebagai pencapaian peribadi, tetapi juga perlu diterjemahkan sebagai sumbangan untuk ugama, raja dan negara.
Mengakhiri titah, baginda turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga KUPU SB, khususnya pengerusi dan Ahli-ahli Majlis Kolej Universiti, Ra'es, Ahli-Ahli Senat, pegawai-pegawai utama, para ahli akademik, pegawai dan kakitangan KUPU SB atas segala jasa dan khidmat bakti yang telah dicurahkan.
Kebawah DYMM juga turut sama-sama mendoakan semoga semua ilmu yang didapat oleh para graduan menjadi ilmu yang bermanfaat, diterima oleh Allah Subhanahu Wata'ala, dan KUPU SB terus diberkati dalam melahirkan graduan berilmu dan berakhlak mulia.