Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad
Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 22 Oktober. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM), pagi tadi berkenan menerima mengadap Ketua-ketua Perwakilan Negara Brunei Darussalam (NBD) yang baru dilantik dan Ketua-ketua Perwakilan Asing ke NBD yang baharu.
Majlis Mengadap berkenaan telah berlangsung di Qashr Al-Meezaan.
Ketua-ketua Perwakilan NBD yang baru dilantik dan Ketua-ketua Perwakilan Asing ke NBD yang baharu berkenaan, Duta Besar Istimewa dan Mutlak NBD ke Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Dato Seri Paduka Awang Haji Hisham bin Haji Mohd. Hanifah; Duta Besar Istimewa dan Mutlak NBD ke Republik Perancis, Tuan Yang Terutama Sheikh Abdul Mahdani bin Dato Paduka Sheikh Abdul Gani; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke NBD, Tuan Yang Terutama Chen Shaochun; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Sosialis Viet Nam ke NBD, Puan Yang Terutama Do Thuy Duong; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Kesatuan Myanmar ke NBD, Tuan Yang Terutama Soe Thet Naung; dan Pesuruhjaya Tinggi British ke NBD, Puan Yang Terutama Melanie Barlow.
Pada 19 Oktober 2026, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan Surat-surat Watikah Pelantikan kepada Ketua-ketua Perwakilan NBD yang baharu dan juga menerima Surat-surat Tauliah Pelantikan daripada Ketua-ketua Perwakilan Asing yang baharu ke NBD.
Turut hadir pada Majlis Mengadap berkenaan, Menteri di JPM (Urustadbir Perkhidmatan Awam), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad.