248 graduan KUPU SB diraikan

23 Okt 2026 - 8:29am

Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim

Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Mohammad Hasif Matzin, Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

TUNGKU LINK, Khamis, 22 Oktober. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Canselor Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) berkenan berangkat menyempurnakan pengurniaan ijazah dan diploma kepada seramai 248 graduan bagi Program Ijazah Doktor Falsafah Perguruan Ugama, Sarjana Perguruan Ugama, Diploma Lepas Ijazah, Diploma Perguruan Ugama Lepas Ijazah, Sarjana Muda Perguruan Ugama dan Diploma Tertinggi Perguruan Ugama pada Majlis Konvokesyen KUPU SB Ke-16 yang berlangsung di Dewan Canselor Universiti Brunei Darussalam, pagi tadi.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned dan diteruskan dengan Zikir al-Asma’ al-Husna beramai-ramai.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.

Turut menjunjung keberangkatan tiba ialah Ra’es KUPU SB, Dr. Awang Haji Arman bin Haji Asmad dan Pendaftar KUPU SB, Pengiran Zainathul Shema binti Pengiran Haji Metassan.

Perarakan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam didahului dengan pengusungan mushaf Al-Quran yang dibawa masuk ke dalam dewan oleh Penulis Mushaf KUPU SB, Awang Mohd. Adi Yusnira bin Haji Johari. Sejurus itu, Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ‘Allah Peliharakan Sultan’ dinyanyikan beramai - ramai.

Majlis disemarakkan dengan alunan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran, Surah Ar-Rahman, ayat 1 hingga 13 beramai-ramai oleh para graduan Majlis Konvokesyen KUPU SB Ke-16. Inti sari ayat dibacakan oleh Awang Hilman bin Haji Salim, graduan Ijazah Doktor Falsafah Perguruan Ugama (Kajian Ahli Sunnah Waljamaah) manakala bacaan hadis pula disampaikan oleh Awang Muhd Syafiq bin Haji Abu Bakar, graduan Ijazah Sarjana Muda Perguruan Ugama (Pendidikan Islam) dengan Minor Bimbingan dan Kaunseling.Majlis kemudiannya diteruskan dengan sembah alu-aluan oleh Ra’es KUPU SB, Dr. Awang Haji Arman. Pada majlis tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan titah.

Sejurus selepas itu, Kebawah DYMM berkenan menyempurnakan pengurniaan ijazah kepada seramai 248 graduan mengikut bidang masing-masing iaitu tiga graduan dianugerahkan dengan Ijazah Doktor Falsafah Perguruan Ugama dalam Bidang Kajian Ahli Sunnah Waljamaah dan Bidang Pendidikan Islam serta Bidang Syariah.

Seterusnya, 10 graduan menerima Ijazah Sarjana Perguruan Ugama dalam Bidang Kajian Ahli Sunnah Waljamaah, Bidang Pendidikan Islam, Bidang Syariah dan juga Bidang Usuluddin; dua graduan dianugerahkan Diploma Lepas Ijazah; 14 graduan dianugerahkan Diploma Perguruan Ugama Lepas Ijazah (Bahasa Arab) dan 25 graduan dianugerahkan Diploma Perguruan Ugama Lepasan Ijazah (Pendidikan Islam).

Selain itu, tiga graduan menerima Ijazah Sarjana Muda Perguruan Ugama (Pendidikan Bahasa Arab). Manakala 69 graduan menerima Ijazah Sarjana Muda Perguruan Ugama (Pendidikan Islam) dengan minor tertentu iaitu Minor Bimbingan dan Kaunseling, Fiqh Ahwal Syahkhsiah, Inovasi dan Teknologi Pendidikan Islam, Kewangan Islam, Pendidikan Awal Kanak - kanak, Pendidikan Keluarga Islam, Pendidikan Khas dan Pendidikan Melayu Islam Beraja.

Seterusnya, tujuh graduan dianugerahkan Diploma Tertinggi Perguruan Ugama (Pendidikan Bahasa Arab) dan 115 graduan dianugerahkan Diploma Tertinggi Perguruan Ugama (Pendidikan Islam). Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan.

Kebawah DYMM kemudian berkenan dijunjung menyaksikan pameran yang mengetengahkan pencapaian dan inisiatif strategik KUPU SB melalui tiga teras utama iaitu Memacu Kegemilangan Pendidikan Islam Melalui Inovasi dan Perkhidmatan Cemerlang; Memperkasa Ilmu, Menjana Potensi, Membina Masa Depan dan Membentuk Generasi Pemimpin Berbakti serta Bernilai Murni.

Pameran ini mencerminkan iltizam KUPU SB dalam memperkasa martabat penyelidikan dan inovasi, memperluas jaringan kolaborasi, meningkatkan kapasiti, menerajui kecemerlangan akademik serta melahirkan graduan yang berilmu, berakhlak dan berupaya menyumbang secara signifikan kepada agama, masyarakat dan Negara Brunei Darussalam.

Seiring dengan visi untuk menjadi institusi perguruan ugama yang unggul dalam melahirkan modal insan holistik yang memenuhi keperluan negara, KUPU SB terus komited dalam memperkasa martabat penyelidikan dan inovasi, memperluas jaringan kolaborasi, meningkatkan kapasiti, menerajui kecemerlangan akademik serta melahirkan graduan yang berilmu, berakhlak dan berupaya menyumbang secara signifikan kepada agama, masyarakat dan negara.