Siaran Akhbar : Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri
Foto : Muhammad Asri Awang Haji Abas, Azmah Haji Ahad
REPUBLIK SINGAPURA, Khamis, 22 Oktober. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri, Negara Brunei Darussalam (NBD) pada sebelah petang hari ini meneruskan program Lawatan Pengenalan ke Republik Singapura, dengan berkenan mengadakan perjumpaan dengan Pengerusi Temasek Holdings, Mr. Teo Chee Hean, di pejabat syarikat berkenaan.
Semasa lawatan berkenaan, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen telah disembahkan taklimat mengenai Temasek Holdings, yang diikuti dengan perbincangan mengenai kerjasama pelaburan di antara Agensi Pelaburan Brunei (BIA) dan Temasek pada masa-masa akan datang.
Perjumpaan berkenaan memberi peluang untuk bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa serta meneroka kerjasama dalam bidang pelaburan.
Sesi berkenaan juga mencerminkan komitmen berterusan NBD untuk memperkukuh hubungan dengan Republik Singapura dalam bidang-bidang kepentingan bersama.