Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hasif Matzin
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 6 Ogos. - Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin berkata bahawa Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri mengukur keberkesanan inisiatif promosi pelancongan bukan hanya berdasarkan jumlah pelawat yang datang, tetapi melalui beberapa Petunjuk Prestasi Utama (Key Performance Indicators - KPIs) yang menggambarkan impak sebenar kepada ekonomi negara dan perusahaan tempatan.
Demikian bagi menjawab persoalan Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dr. Awang Haji Mahali bin Haji Momin berkaitan ukuran atau petunjuk kepada impak inisiatif promosi pelancongan yang dilaksanakan seperti peningkatan ketibaan pelancong, tempoh penginapan, kadar penginapan hotel, pendapatan pengusaha pelancongan dan pulangan pelaburan (return on investment) yang dapat diukur dan dirasai oleh negara.
Menurut Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang bersidang di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, hari ini, petunjuk pertama ialah peningkatan ketibaan pelancong antarabangsa. Data ini dipantau secara bulanan bagi ketibaan melalui udara, darat dan laut.
Bagi tempoh Januari hingga Jun 2026, jelasnya, Negara Brunei Darussalam (NBD) merekodkan hampir 400,000 ketibaan pelawat, iaitu peningkatan 7.8 peratus berbanding 370,000 dalam tempoh yang sama pada tahun 2025, jelas Yang Berhormat.
Peningkatan paling ketara, kata Yang Berhormat lagi, dicatatkan bagi ketibaan melalui laut, iaitu hampir 70 peratus, menunjukkan potensi yang semakin berkembang bagi segmen pelancongan kapal persiaran.
Sementara petunjuk kedua, tambah Yang Berhormat ialah peningkatan perbelanjaan pelancong (tourism receipts). Matlamat utama kementerian adalah meningkatkan nilai ekonomi yang dijana oleh setiap pelawat.
“Bagi enam bulan pertama tahun 2026, jumlah perbelanjaan pelancong dianggarkan mencecah sekitar BND158 juta, berbanding BND140 juta bagi tempoh yang sama pada tahun 2025. Ini menunjukkan bahawa peningkatan pelancongan memberi sumbangan terus kepada ekonomi negara,” terang Yang Berhormat.
Prestasi sektor pelancongan dan industri berkaitan, jelas Yang Berhormat, merupakan petunjuk ketiga. Kementerian turut memantau prestasi subsektor seperti hotel, restoran dan ejen pelancongan.
“Walaupun purata tempoh penginapan hotel menurun daripada sekitar tiga hari kepada dua hari, jualan hotel masih meningkat sekitar 17 peratus, daripada kira-kira BND17 juta kepada BND20 juta. Ini menunjukkan bahawa aktiviti pelancongan terus menjana nilai ekonomi kepada industri.
“Selain itu, prestasi sektor seperti restoran, hotel dan ejen pelancongan turut dipantau sebagai petunjuk limpahan ekonomi kepada perusahaan tempatan,” jelas Yang Berhormat lagi.
Seterusnya petunjuk keempat, menurut Yang Berhormat ialah keberkesanan pelaburan promosi atau Return on Investment (ROI). Kementerian sentiasa menilai keberkesanan setiap pelaburan promosi berdasarkan data daripada rakan pemasaran dan platform pelancongan digital. Sebagai contoh, kempen bersama Agoda, Ctrip, Expedia dan Tripadvisor.
Kempen-kempen tersebut telah berjaya menjana lebih 52 juta paparan (impressions) dan meningkatkan visibiliti NBD di pasaran antarabangsa dengan penghasilan melebihi 1,800 tempahan malam penginapan (room nights) serta hampir 600 tempahan merangkumi 63 peratus tempahan hotel, 31 peratus tempahan penerbangan dan 6 peratus pakej pelancongan, jelas Yang Berhormat.
Data ini, terang Yang Berhormat, membolehkan kementerian menilai pulangan pelaburan secara lebih berkesan dan mengenal pasti pasaran yang wajar diberikan keutamaan bagi memastikan setiap perbelanjaan promosi memberi impak yang optimum.