Mengenali lebih dekat peranan, fungsi MMN

13 Nov 2026 - 7:43am

Oleh : Rohani Haji Abdul HamidFoto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 12 November. - Seramai 59 pelajar Tahun 4 dari International School Brunei (ISB), diiringi oleh 10 tenaga pengajar telah mengadakan Lawatan Sambil Belajar ke Dewan Majlis bagi mengenali dengan lebih dekat peranan dan fungsi Majlis Mesyuarat Negara (MMN), termasuk proses persidangan dan perundangan negara.

Turut berangkat menyertai rombongan tersebut ialah cucunda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa’ Raihaanul Bolkiah binti Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah.

Lawatan dimulakan dengan sesi taklimat mengenai sejarah penubuhan, fungsi dan peranan MMN sebagai institusi penting di Negara Brunei Darussalam (NBD). Para pelajar turut diberikan penerangan mengenai perjalanan persidangan MMN serta peranan Ahli-ahli MMN dalam membincangkan perkara-perkara yang berkaitan dengan kepentingan dan pembangunan negara.

Sepanjang lawatan tersebut, para pelajar berpeluang mengunjungi Dewan Persidangan MMN, menyaksikan tayangan video serta menyertai sesi simulasi perbahasan di Dewan Mini.

Sesi simulasi telah memberikan pengalaman pembelajaran secara interaktif kepada para pelajar untuk mengenali tatacara perbahasan, termasuk mengemukakan usul, menyampaikan pandangan dan membentangkan hujah.

Aktiviti ini turut memberikan gambaran mengenai kepentingan perbincangan yang teratur, sikap saling menghormati dan proses membuat keputusan secara bermesyuarat.

Lawatan sambil belajar ini merupakan sebahagian daripada usaha Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat dalam meningkatkan kefahaman dan kesedaran generasi muda mengenai institusi MMN serta peranannya.

Di samping memperkaya pengalaman pembelajaran di luar bilik darjah, program seumpama ini dihasratkan dapat memupuk minat para pelajar terhadap hal ehwal kenegaraan serta menggalakkan kemahiran berkomunikasi dan keyakinan diri.