Penganugerahan kerakyatan titik permulaan satu amanah besar

13 Nov 2026 - 7:38am

Oleh : Rohani Haji Abdul HamidFoto : Mohammad Hasif Matzin

BERAKAS, Khamis, 12 November. - Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman berucap Pengurniaan Sijil Taraf Kerakyatan ini mencerminkan rasa kasih sayang dan pemedulian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam terhadap mereka yang telah memenuhi syarat-syarat sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Akta Taraf Kerakyatan, Penggal 15.

Menurut Yang Berhormat, penganugerahan kerakyatan ini bukan sekadar pengiktirafan dari segi undang-undang, malah merupakan titik permulaan kepada satu amanah besar untuk terus menjunjung kesetiaan yang tidak berbelah bahagi Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, menghayati dan mempertahankan falsafah negara Melayu Islam Beraja (MIB) sebagai landasan kehidupan bernegara dan seterusnya menyumbang secara aktif ke arah kemajuan Negara Brunei Darussalam (NBD).

“Dengan penganugerahan sijil kerakyatan ini, biskita kini menjadi sebahagian daripada keluarga besar NBD untuk bersama-sama memikul tanggungjawab, menjunjung tinggi Perlembagaan, mematuhi undang-undang negara serta menghormati adat istiadat dan budaya yang menjadi asas kepada perpaduan masyarakat.

“Penganugerahan ini bukan sahaja memberikan hak sebagai rakyat negara ini, malah turut membawa tanggungjawab untuk biskita memainkan peranan penting dan aktif dalam mendukung hasrat murni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke arah merealisasikan Wawasan Brunei 2035,” jelas Yang Berhormat semasa Majlis Penyampaian Sijil Taraf Kerakyatan Kali Ke-46 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa Brunei, Berakas, hari ini.

Ujar Yang Berhormat lagi, kepelbagaian pengalaman, kemahiran dan latar belakang yang dibawa oleh para penerima sijil taraf kerakyatan pada hari ini merupakan aset yang bernilai dalam memperkukuhkan kemajuan, daya tahan dan kesejahteraan negara.

Sesungguhnya, tambah Yang Berhormat, kekuatan sesebuah negara bukan sahaja terletak pada kemajuan ekonomi dan pembangunan fizikalnya tetapi juga pada kualiti rakyatnya yang bersatu padu, bertanggungjawab, berintegriti dan sentiasa menjunjung kedaulatan negara.

Oleh yang demikian, kongsi Yang Berhormat lagi, kerakyatan yang dianugerahkan pada hari ini hendaklah diiringi dengan semangat patriotisme, rasa syukur dan iltizam untuk terus memelihara keamanan, keharmonian dan kesejahteraan yang telah lama dinikmati oleh NBD.

Setiap rakyat adalah aset strategik negara yang perlu terus meningkatkan ilmu pengetahuan, memperkukuh akhlak dan jati diri, memperkasa keupayaan dan meningkatkan daya saing bagi mendukung aspirasi negara serta menjayakan Wawasan Brunei 2035, ujar Yang Berhormat.

“Sebagai rakyat negara ini, kita hendaklah sentiasa berpandangan jauh, kreatif dan inovatif dalam menghadapi cabaran serta memanfaatkan peluang yang dibawa oleh perkembangan ekonomi dan teknologi.

“Dengan perpaduan yang kukuh, komitmen yang tinggi dan usaha yang berterusan, insyaaAllah untuk menjadikan NBD sebuah negara yang maju dan berdaya tahan, mempunyai rakyat yang berpendidikan tinggi, berkemahiran, kualiti kehidupan yang tinggi serta mempunyai ekonomi yang dinamik dan mampan akan dapat direalisasikan.

“Semoga negara ini terus kekal aman, makmur dan sejahtera di bawah kepimpinan yang bijaksana Kebawah Duli yang Maha Mulia serta sentiasa berada dalam rahmat, lindungan dan keberkatan Allah Subhanahu Wata‘ala jua,” ujar Yang Berhormat.

Yang Berhormat seterusnya berkata sumbangan biskita kepada tenaga kerja dan pembangunan negara selama ini sangat dihargai, dan dengan penganugerahan taraf kerakyatan ini, sumbangan tersebut diharapkan akan terus diperkukuh.

Biskita, jelas Yang Berhormat, khususnya generasi muda, adalah digalakkan untuk merebut peluang pekerjaan, latihan dan peningkatan kemahiran yang disediakan oleh Kerajaan melalui agensi-agensi yang berkaitan. Bagi biskita yang menjalankan perniagaan pula, keutamaan hendaklah diberikan kepada pengambilan dan pembangunan tenaga tempatan, sebagai komitmen biskita ke arah memperkukuh ekonomi negara.

Dalam era globalisasi dan kemajuan teknologi masa kini, tekan Yang Berhormat, negara tidak terkecuali daripada berhadapan dengan pelbagai cabaran yang semakin kompleks, khususnya yang berkaitan dengan isu-isu sosial.

Kongsi Yang Berhormat, antaranya termasuklah penyalahgunaan dadah, masalah buli, pengangguran, jenayah, penyalahgunaan media sosial untuk menyebarkan maklumat yang tidak sahih serta penyebaran ideologi ekstrem yang berpotensi menjejaskan keharmonian masyarakat dan kestabilan negara.

Oleh itu, tambah Yang Berhormat, usaha pencegahan, peningkatan kesedaran dan pemerkasaan masyarakat akan terus diperkukuh bagi membendung gejala-gejala tersebut serta memastikan kesejahteraan negara sentiasa terpelihara.

Sehubungan itu, jelas Yang Berhormat lagi, setiap rakyat mempunyai peranan dan tanggungjawab untuk sama-sama mendukung usaha Kerajaan dalam menangani isu-isu sosial.

“Usaha ini memerlukan komitmen semua lapisan masyarakat, bermula daripada institusi keluarga yang berperanan penting dalam membentuk generasi berakhlak mulia, berdisiplin, berilmu dan mempunyai jati diri yang kukuh, serta tidak mudah terpengaruh dengan gejala sosial yang negatif.

“Pendidikan, bimbingan dan pengawasan yang berterusan akan membantu melahirkan warganegara yang bertanggungjawab serta mampu menyumbang secara positif kepada pembangunan negara.

“Pada masa yang sama, setiap anggota masyarakat hendaklah mengamalkan sikap prihatin, bertanggungjawab, saling bekerjasama dan saling menghormati antara satu sama lain. Biskita juga digalakkan untuk melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti kemasyarakatan di peringkat mukim dan kampung, termasuk melalui Majlis Perundingan Mukim dan Kampung, serta turut sama membantu menangani cabaran sosial yang dihadapi oleh masyarakat,” ujar Yang Berhormat.

Tambah Yang Berhormat lagi, semangat kejiranan dan sikap tolong-menolong juga perlu terus diperkasakan, di samping sentiasa berwaspada terhadap pengaruh negatif dan anasir yang boleh menjejaskan keselamatan, kestabilan serta perpaduan negara, demi memastikan NBD terus kekal aman, makmur dan sejahtera.

Yang Berhormat ingin memetik titah Kebawah DYMM bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda yang Ke-80 Tahun pada 15 Julai 2026 yang mana antara lainnya titah baginda bertitah, “Kita juga bersama-sama menyaksikan peredaran zaman, dari pembangunan asas kepada pemodenan. Hanya satu sahaja yang tidak berubah iaitu, kepercayaan, kesetiaan dan perpaduan yang menjadi tulang belakang negara sejak dahulu lagi. Demikian, jika kita mahu menjadi bangsa yang kuat, ia bukan diukur dari kemewahan yang dinikmati, tetapi dari keikhlasan bersatu padu menghadapi apa jua cabaran”.

Ujar Yang Berhormat, semoga penganugerahan ini menjadi titik permulaan kepada satu perjalanan yang lebih bermakna kepada biskita semua, dengan tekad untuk terus berbakti kepada agama, raja dan negara serta menyumbang ke arah menjayakan aspirasi pembangunan negara bagi generasi masa kini dan akan datang.