Oleh : Nurdiyanah Rajami
Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Mohammad Hasif Matzin, Nurdiyanah Rajami
TUNGKU LINK, Khamis, 30 Julai. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Pro-Canselor Universiti Brunei Darussalam (UBD) berkenan menyaksikan Pameran Projek UBD bersempena Majlis Konvokesyen UBD Ke-38 bertempat di Inspiring Hub, UBD, pagi tadi.
Di ruang pameran, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah mula-mula dijunjung menyaksikan petak pameran yang mengetengahkan kurikulum baharu UBD iaitu GenBESTARI.
Ia merupakan sebuah struktur Ijazah Sarjana Muda yang baharu telah direka bentuk untuk menyediakan pelajar menghadapi dunia yang berubah pantas yang dibentuk oleh pendigitalan, keperluan kemahiran yang muncul dan jangkaan graduan universiti yang berkembang.
Di bawah GenBESTARI, program-program sarjana muda tersedia dalam tempoh pengajian selama tiga tahun sambil mengekalkan kedalaman, keluasan dan ketegasan akademik melalui modul teras baharu dan laluan pembelajaran berstruktur. Discovery Year kekal sebagai sebahagian daripada pengalaman pembelajaran, mencerminkan penekanan berterusan UBD pada pembelajaran berasaskan pengalaman.
Kurikulum ini bertujuan untuk memupuk graduan yang seimbang dan individu holistik, pemimpin beretika, pemikir lestari, pengamal transdisiplin, pelajar sepanjang hayat yang mudah menyesuaikan diri dan berdaya tahan, warga global yang bertanggungjawab serta penyelesai masalah yang inovatif.
GenBESTARI diperkukuh lagi melalui 'Pamor' dan 'Citra' iaitu aktiviti teras wajib yang membina kompetensi asas pelajar dalam aspek kesihatan, kerohanian, ilmu pengetahuan dan kepimpinan, di samping menyediakan peluang bagi pelajar untuk meneroka minat, kreativiti serta pembangunan profesional.
Seterusnya, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan menyaksikan petak pameran yang menyerlahkan dua inisiatif terkini UBD iaitu Nexus for Architecture, Data and Intelligence (NADI) dan UBD Campus Greening Roadmap 2025 - 2030 di mana kedua-dua inisiatif ini turut dirasmikan oleh Duli Yang Teramat Mulia.
NADI merupakan sistem bersepadu pusat (central unified system) UBD yang direka bentuk untuk menyelaraskan sistem institusi sedia ada di bawah satu platform pintar. Ia berfungsi sebagai tulang belakang operasi universiti dengan menggabungkan sistem akademik, pentadbiran dan operasi ke dalam satu ekosistem digital yang padu.
Dikuasakan oleh Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence - AI) dan Pembelajaran Mesin (Machine Learning), NADI membolehkan pembuatan keputusan yang lebih bijak, melancarkan proses di seluruh universiti serta memberikan pengalaman yang lebih lancar dan bersepadu kepada pelajar, tenaga pengajar, pihak pengurusan dan kakitangan.
Ia merupakan langkah penting dalam perjalanan transformasi digital UBD. Dengan menyatukan data, sistem dan proses, ia memperkukuh penyelarasan institusi, meningkatkan kecekapan operasi serta menyokong persekitaran universiti yang lebih saling berhubung dan pintar.
Sementara itu, dalam petak Pameran UBD Campus Greening Roadmap 2025 – 2030 mengetengahkan visi UBD untuk mewujudkan sebuah University in the Heart of a Living Forest.
Sebagai program utama di bawah Pelan Induk Kelestarian UBD (UBD Sustainability Masterplan), peta hala tuju ini memberi tumpuan kepada usaha memulihkan, melindungi dan mempertingkatkan ekosistem semula jadi serta kawasan hijau di kampus.
Ia menggalakkan penanaman dan pengurusan spesies pokok serta tumbuhan tempatan melalui pendekatan berasaskan sains. Inisiatif ini memperkukuh peranan UBD sebagai ‘living laboratory’, di samping menyokong pemuliharaan biodiversiti, pendidikan alam sekitar dan daya tahan iklim.
Dalam pada itu, peta hala tuju ini juga mencerminkan komitmen universiti terhadap penjagaan alam sekitar, perlindungan biodiversiti dan pembelajaran yang berteraskan kelestarian untuk warga kampus secara menyeluruh. Di samping itu, inisiatif ini menyumbang kepada pembentukan kampus UBD yang lebih hijau dan lestari.
DYTM seterusnya dijunjung menyaksikan petak pameran yang menampilkan satu inovasi yang dibangunkan berdasarkan reka bentuk terdahulu yang telah dipatenkan yang dikenali dengan nama projek ‘BreSih’.
‘BreSih’ merupakan sebuah projek inovasi penjagaan kesihatan antara disiplin yang merintis usaha meletakkan maruah insan sebagai teras dalam reka bentuk teknologi penjagaan bantuan kesihatan. Ia direka sebagai sistem penjagaan kebersihan dan pengurusan ‘inflatable’, ‘lightweight’ serta praktikal yang menggabungkan fungsi bekalan air dan saliran ke dalam satu penyelesaian bersepadu. Reka bentuknya yang mudah alih dan mesra pengguna menjadikannya sesuai untuk digunakan di hospital, pusat pemulihan, dan persekitaran penjagaan di rumah.
‘BreSih’ turut memperlihatkan bagaimana ilmu kejururawatan dapat diterjemahkan menjadi inovasi penjagaan kesihatan yang bermakna melalui gabungan kepakaran klinikal, penyelidikan, kepimpinan, dan keusahawanan.
Projek ini bermatlamat untuk meningkatkan maruah, keupayaan berdikari, dan kesejahteraan, di samping menyokong penambahbaikan dalam penyampaian penjagaan kesihatan serta kualiti hidup bagi pesakit mahupun penjaga mereka.
Seterusnya, DYTM dijunjung menyaksikan petak pameran terakhir yang menampilkan New Wave Films BN iaitu sebuah syarikat pembikinan filem tempatan.
Alumni UBD, Syafi Halim, mengasaskan kolektif pembikinan filem tempatan ini bagi mempamerkan karya kreatif yang mengetengahkan budaya, masyarakat, identiti, dan alam sekitar NBD. Antara yang turut ditayangkan di petak pameran berkenaan ialah ‘trailer’ serta klip sorotan daripada empat karya yang telah siap dihasilkan iaitu Ekosistem Rasa, Kampung Buah, Wujud dan The Invisible Catch.
Melalui dokumentari, animasi, dan penceritaan visual, New Wave Films BN memperlihatkan peranan industri kreatif dalam memelihara naratif budaya, meningkatkan kesedaran mengenai isu-isu sosial dan alam sekitar serta membawa kisah-kisah NBD kepada khalayak yang lebih luas.
Pameran Projek UBD bersempena Pesta Konvo UBD ini jelas menyerlahkan lagi bagaimana kakitangan dan mahasiswa dan mahasiswi UBD bekerjasama untuk menjadikan idea dan penyelidikan sebagai impak yang ketara, memacu inovasi untuk meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan, menjana nilai ekonomi dan sosial serta membina masa depan yang lebih pintar, lebih mampan dan berdaya tahan.