NBD perkukuh kerjasama serantau membanteras jenayah kewangan

31 Jul 2026 - 9:05am

Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman

Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said

JERUDONG, Khamis, 30 Julai. - Negara Brunei Darussalam (NBD) terus memperkukuh komitmennya terhadap usaha serantau dan antarabangsa dalam membanteras pembersihan wang haram, pembiayaan pengganasan dan pembiayaan percambahan senjata pemusnah secara besar-besaran melalui penganjuran  Mesyuarat Tahunan Asia / Pacific Group on Money Laundering (APG)  dan  Technical Assistance Forum 2026  yang berlangsung di The Empire Brunei.

NBD menjadi tuan rumah bagi Mesyuarat Tahunan APG 2026 dalam kapasiti sebagai Pengerusi Bersama Bergilir APG bagi penggal 2026-2028.

Majlis perasmian mesyuarat tersebut disempurnakan oleh Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah selaku Menteri Yang Bertanggungjawab Terhadap Hal Ehwal APG bagi Negara Brunei Darussalam (NBD).

Turut hadir, Timbalan Menteri Kewangan, Yang Mulia Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani, selaku Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan bagi Membanteras Pembersihan Wang Haram dan Pembiayaan Pengganasan dan Timbalan Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Yang Amat Mulia Pengiran Anak Dato Seri Pahlawan Haji Mohammed Saifullah bin Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris.

Majlis tersebut menandakan penganjuran APG oleh NBD, mengalu-alukan Ahli-ahli APG dengan kehadiran pegawai-pegawai kanan daripada agensi-agensi kerajaan.

Mesyuarat yang berlangsung selama lima hari bermula 27 hingga 31 Julai 2026 itu dianjurkan oleh Kementerian Kewangan dengan kerjasama Brunei Darussalam Central Bank (BDCB).

Majlis perasmian turut diserikan dengan Seminar Teknikal NBD mengenai  Pelucutan Hak Berdasarkan Tiada Sabitan (Non-Conviction Based Forfeiture)  yang mengetengahkan pengalaman dan amalan NBD dalam usaha membanteras jenayah kewangan.

Seminar berkenaan disampaikan oleh pegawai- pegawai kanan daripada PPDB, Biro Mencegah Rasuah, Biro Kawalan Narkotik dan Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, manakala wakil daripada Pejabat Peguam Negara bertindak sebagai moderator.

Penganjuran APG kali ini menghimpunkan delegasi daripada  41 negara ahli,  tiga negara pemerhati,  12 organisasi pemerhati  serta wakil Urus Setia APG.

Mesyuarat merangkumi sesi plenari dan perjumpaan kumpulan kerja yang membincangkan hala tuju strategik dan rangka kerja APG, termasuk perkara berkaitan bantuan teknikal bagi menyelaraskan secara berkesan sokongan pembangunan kapasiti dalam bidang pencegahan pembersihan wang haram dan pembanterasan pembiayaan pengganasan (AML/CFT) di rantau Asia Pasifik.

APG merupakan sebuah badan teknikal antarabangsa yang beroperasi sebagai badan serantau berasaskan  Financial Action Task Force (FATF) bagi rantau Asia Pasifik dengan misi untuk memastikan bahawa negara-negara keahlian melaksanakan dengan berkesan piawaian-piawaian antarabangsa yang ditetapkan oleh FATF 40 Recommendations bagi membanteras pembersihan wang haram, pembiayaan pengganasan dan percambahaan senjata pemusnah secara besar-besaran.