Oleh : Aimi SaniFoto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi
SALAMBIGAR, Jumaat, 6 November. - Majlis Perasmian Move & Groove@Mid Valley 2026 telah berlangsung di Mid Valley Shopping Centre, Salambigar, hari ini.Hadir selaku tetamu kehormat bagi majlis tersebut ialah Pengarah Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dayang Hajah Umi Kalthum binti Haji Abdul Karim.
Turut mengiringi tetamu kehormat ialah Pengarah Eksekutif Kumpulan Syarikat, Hambali bin Pehin Orang Kaya Shahbandar Dato Seri Paduka Haji Mohd. Salleh selaku wakil daripada Mid Valley Management.
Acara Move & Groove@Mid Valley 2026 yang berlangsung selama enam hari,bermula 3 hingga 8 November 2026 ini merupakan hasil kerjasama antara Mid Valley Shopping Centre dan Helmi Abdullah Fitness (HAF) dengan sokongan Brunei Fitness Challenge (BFC) serta Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan.
Penganjuran acara ini bertujuan untuk menggalakkan orang ramai mengamalkan gaya hidup yang lebih aktif dan sihat, di samping meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penjagaan kesihatan dan kecergasan fizikal melalui pelbagai aktiviti yang disediakan.
Sepanjang enam hari penganjuran, pelbagai aktiviti kecergasan dan kesedaran kesihatan diadakan, antaranya sesi Zumba, Pound Fitness, Trampoline Fitness, Kempen Derma Darah serta pelbagai lagi aktiviti menarik yang tersedia.
Selain itu, orang ramai juga berpeluang menyertai pelbagai aktiviti sampingan yang mencabar kemampuan fizikal dan menguji ketahanan diri, antaranya Spider-Man Workout Challenge (CrossFit Cindy), ASR Dash & Blast, Push-Up Challenge dan Niio Last One Holding Challenge. Aktiviti-aktiviti tersebut turut menawarkan hadiah menarik kepada para peserta.
Kemuncak acara Move & Groove@Mid Valley 2026 ialah penganjuran Mid Valley Hybrid Challenge 2026, yang akan berlangsung pada 7 dan 8 November 2026. Cabaran ini merupakan salah satu tarikan utama acara yang menggabungkan elemen kecergasan, kekuatan fizikal, daya tahan serta kerjasama berpasukan.
Seramai 142 peserta akan mengambil bahagian dalam tiga kategori pertandingan, iaitu Double Men, Double Women dan Double Mixed. Melalui penganjuran acara ini, pihak Mid Valley Shopping Centre berharap agar ia dapat menjadi platform bagi menggalakkan penyertaan masyarakat dalam aktiviti kecergasan, memupuk kesedaran terhadap kepentingan gaya hidup sihat serta menyediakan ruang kepada komuniti dan perniagaan tempatan untuk turut sama terlibat dalam aktiviti yang bermanfaat.