Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Pendidikan
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 6 November. - Dua kumpulan pelajar dari sekolah menengah di Negara Brunei Darussalam (NBD) telah meraih kejayaan dalam pertandingan Young Inventors Challenge 2026 yang berlangsung pada 4 November 2026.
Kumpulan Tech-Savvy dari Seri Mulia Sarjana School berjaya meraih Anugerah Emas (Gold Award), manakala Kumpulan Nutriscanbuddy dari Sekolah Menengah Menglait memperoleh Anugerah Gangsa (Bronze Award).
Kumpulan Tech-Savvy yang diwakili oleh Arjun Suresh Kumar, John Christopher Padilla Espiritu dan Muhammad Zaki bin Haji Mohammad Ja’afar, di bawah bimbingan guru pengawas, Rhoel C. Pacis telah membentangkan projek berupa sistem pengurusan kualiti air berasaskan teknologi Internet of Things (IoT).
Sistem bersepadu ini membolehkan pemantauan kualiti air secara masa nyata serta dilengkapi dengan fungsi pemberitahuan dan kawalan melalui peranti mudah alih.
Sementara itu, Kumpulan Nutriscanbuddy yang diwakili oleh Muhammad Nurul Syawali@ Syawal bin Zakaria, Rayyan Iman bin Yusri, Nurkasih Erma Shareena binti Abdul Mu’min Mohammad Sabree, Nur Maisarah Khalisa binti Mazlan dan Syahirah Hanim binti Mohd. Sukaini, di bawah bimbingan dua guru pengawas, iaitu Dr. Dayang Rozaitul Azlin binti Matzani dan Dayang Nurhazwani binti Haji Zakaria telah membentangkan projek aplikasi pemakanan berasaskan Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence – AI).
Aplikasi ini direka untuk membantu pengguna membuat pilihan pemakanan yang lebih bijak ke arah mengamalkan gaya hidup sihat melalui fungsi imbasan makanan yang menyediakan maklumat mengenai kandungan kalori, nutrien, alergen serta status halal makanan berkenaan.
Pertandingan Young Inventors Challenge 2026 yang diadakan secara dalam talian merupakan pertandingan reka cipta secara berkumpulan yang terbuka kepada pelajar sekolah menengah berumur antara 13 hingga 17 tahun, dengan setiap kumpulan terdiri daripada dua hingga lima pelajar.
Bertemakan Sustainable Development Goals (SDGs) atau Matlamat Pembangunan Mampan, pertandingan ini bertujuan untuk menggalakkan pelajar menghasilkan idea dan inovasi kreatif serta menyediakan platform bagi mengetengahkan hasil reka cipta mereka di peringkat serantau dan antarabangsa.
Antara objektif utama pertandingan ini adalah untuk memupuk budaya inovasi dan kreativiti dalam kalangan pelajar, menggalakkan minat terhadap bidang reka cipta serta memberikan peluang kepada mereka untuk mempamerkan hasil inovasi dan prototaip yang dihasilkan.
Selain itu, pertandingan ini turut bertujuan untuk mengasah kemahiran pelajar dalam mengenal pasti cabaran dan menghasilkan penyelesaian yang inovatif, di samping menggalakkan penghasilan idea yang dapat memberikan impak positif kepada masyarakat.
Menurut maklumat yang dikongsikan oleh pihak penganjur, pertandingan ini telah menerima sebanyak 407 penyertaan, dengan 32 kumpulan berjaya disenarai pendek untuk mara ke peringkat akhir. Daripada jumlah keseluruhan penyertaan tersebut, sebanyak 15 penyertaan adalah dari NBD.
Pertandingan ini dianjurkan oleh The Association of Science, Technology and Innovation (ASTI), Malaysia dan diselaraskan melalui Pusat Kerjasama Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (Pusat STEP), Kementerian Pendidikan, NBD.